Oleh Ku Mohd Lufti
2017 menyaksikan sejarah dilakar dari bumi Zurich, Switzerland kira kira jam 2.30 pagi tadi apabila pemain daripada pasukan Pulau Pinang, Mohad Faiz Subri dipilih sebagai pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk jaringan gol paling cantik sepanjang 2016.
Pemain berusia 29 tahun itu turut melakar namanya sebagai pemain dari rantau Asia Asia pertama dikurniakan anugerah tersebut pada majlis gilang-gemilang di Zurich.
Anugerah Puskas bersempena dengan nama legenda bola sepak dari negara Hungary, Ferenc Puskas, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an.
Lebih manis, Faiz menerima trofi daripada lagenda bolasepak Brazil, Ronaldo.
“Secara jujur, ia tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa saya akan mencapai ke tahap ini dan berada sebaris dalam kalangan pemain bola sepak bertaraf dunia di tempat yang hebat ini.
“Syukur saya menang, terima kasih kepada pengundi di Malaysia dan seluruh dunia yang memilih saya. Tidak lupa juga keluarga, jurulatih dan pasukan Pulau Pinang.
“Tanpa sokongan mereka, kejayaan ini mungkin mustahil kerana saingan calon lain yang ternyata hebat,” kata Mohd Faiz.
Faiz meraih 59.46 peratus undi, mengatasi dua lagi pencabar yang turut di senarai untuk bertanding dalam anugerah ini, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil yang berjaya meraih 22.86 peratus undi dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez dengan 10.01 peratus undi.
Jaringannya ketika membantu Pulau Pinang melakar kemenangan 4-1 ke atas Pahang dalam saingan Liga Superpada 16 Februari tahun lepas dilabel sebagai ‘melanggar hukum fizik’.
Malah, jaringan Faiz yang disenaraidalam 10 gol terbaik sepanjang 2016 turut mengetepi beberapa calon ternama seperti dua bintang Barcelona, Lionel Messi dan Neymar sekaligus terpilih antara tiga finalis untuk menerima anugerah Puskas FIFA 2016.