Oleh Muhammad Aiman
Sekembalinya ke tanah air selepas dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016 di bumi Switzerland dua hari lalu, Faiz Subri bukan sahaja menerima sambutan bak wira tetapi turut menerima ganjaran lumayan berjumlah keseluruhan RM150,000.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengumumkan ganjaran RM100,000 dari Kementerian Belia dan Sukan manakala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menokok RM50,000 kepada pemain Pulau Pinang itu yang muncul pemain dari Asia pertama untuk memenangi anugerah itu di Zurich pada Isnin.
“Bagi pihak kerajaan, saya mengucapkan tahniah kepada Faiz di atas pencapaian menakjubkannya ini. Ini adalah kali pertama pemain Malaysia diiktiraf di pentas tertinggi dunia bagi gol tercantik dan seluruh negara berbangga dengan pencapaiannya. Terima kasih kepada Faiz kerana membawa kebanggaan kepada negara dan memastikan nama Malaysia menjadi sebutan.”
Mengenai ejekan yang diterima Faiz gara-gara tidak begitu petah berbahasa inggeris ketika berucap di malam anugerah tersebut, Khairy berkata, “Pada saya kritikan sebegitu adalah perkara remeh dan tidak perlu diambil serius. Kita perlu melihat apa yang Faiz telah bawa kepada negara, apalah sangat kritikan tersebut jika dibandingkan dengan pencapaiannya.
“Mereka yang mengejek atau mempersenda Faiz ini sebenarnya tidak faham apa yang telah dia capai. Saya rasa mereka-mereka ini tidak pernah menang atau menyumbang apa-apa kepada negara.”
Untuk makluman, Anugerah Puskas diperkenalkan pada tahun 2009 sebagai mengiktiraf jaringan gol tercantik di dunia bagi setiap tahun, dan ianya pernah dimenangi beberapa pemain ternama dunia termasuklah Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez.
Pencapaian Faiz itu turut diiktiraf dalam Malaysia Book of Records.
Sementara itu, Faiz yang disambut lebih 500 peminat bolasepak tempatan di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur berjanji tidak akan terbuai dan lupa diri dengan pujian melambung, penghormatan dan kemasyuran yang diterimanya ini.
“Terima kasih kepada semua yang telah mengundi dan menyokong saya, anugerah ini bukan milik saya seorang tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia. Media juga memainkan peranan di atas kemenangan ini jadi saya turut berterima kasih kepada mereka.
“Saya akui tekanan pasti lebih besar selepas ini kerana ini kali pertama pemain dari Malaysia menang anugerah ini dan sudah tentunya ekspetasi lebih tinggi diletakkan justeru saya perlu belajar menanganinya.
“Fokus saya kini adalah kembali ke latihan dan bekerja keras merebut semula tempat di dalam kesebelasan utama selepas tersisih hampir keseluruhan musim lalu kerana kecederaan. Bolasepak adalah permainan berpasukan dan saya mahu buat yang terbaik untuk Pulau Pinang,” kata pemain berusia 29 tahun itu.
Untuk rekod, gol Faiz yang menjadi ‘viral’ seluruh dunia itu dijaringkan ketika bertemu Pahang pada 16 Februari tahun lalu, apabila sepakan percumanya jarak jauhnya melencong ‘melanggar hukum fizik’ sebelum menewaskan Nasril Nordin di gawang Pahang.
Jaringan itu mendapat undian 59.46%, mengatasi jaringan sepakan akrobatik Marlone dari Brazil (22.86%) dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez (10.01%).