Menerusi satu surat tulisan tangan yang panjangnya lebih kurang 30 patah perkataan kepada Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Bibi Ramjani Ilias Khan, jurulatih kontroversi Fajr Ibrahim mengumumkan peletakan jawatannya.
Dia sebelum ini menghilangkan diri dan gagal dikesan keberadaannya sejak kekalahan besar 0-4 kepada Selangor di Cheras pada Jumaat lalu yang merupakan kekalahan kesembilan Kelantan musim ini dan yang keempat secara berturut-turut sekaligus mengundang kritikan berterusan penyokong.
Di dalam surat tersebut yang disiarkan sebuah portal berita online, Fajr menyatakan kesulitan yang dihadapi di dalam menguruskan pasukan termasuk ketiadaan fasiliti latihan adalah punca dia membuat keputusan itu namun ia dilihat lebih kepada alasan di atas kegagalannya.
Sejak membimbing Kelantan menggantikan Sathit Bensoh pada Mac lalu, Fajr telah diberi kuasa penuh dan ‘menjajah’ pasukan itu dengan beberapa keputusan yang tidak disenangi antaranya menggugurkan lebih sedozen pemain tonggak pasukan atas alasan tiada dalam perancangannya.
Antara nama-nama besar yang diketepikan adalah dua penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat dan Ramadhan Hamid, S.Veenod, Badhri Radzi, Do Dong Hyun, Morgaro Gomis dan Norfarhan Mohamad dan memilih untuk merekrut hampir satu pasukan Piala Presiden Kelantan yang mentah pengalaman ke dalam skuad utama.
Hasilnya, Kelantan cuma menang sekali sepanjang lapan perlawanan kendaliannya iaitu ketika menewaskan Kuala Lumpur 4-2 di Kota Bharu, selebihnya satu seri dan enam kali tewas termasuklah kecundang buat kali pertama dalam 14 tahun kepada Kuala Lumpur di Cheras.
Ironinya Fajr pernah membuat keputusan melepaskan jawatan sejurus kekalahan kepada PKNP FC di Batu Kawan pada 2 Mei lalu namun menarik balik hasrat tersebut setelah dipujuk Bibi Ramjani.
Kini, setelah membawa ‘kerosakan teruk’ dan meletakkan pasukan di kedudukan tercorot liga, dia dengan mudahnya melepaskan diri tanpa sedikitpun rasa bertanggungjawab.
Kerosakan yang disebabkan Fajr, perlu diperbaiki oleh orang lain dan Bibi Ramjani mengesahkan buat sementara ini tanggungjawab itu akan kembali dipikul pembantu jurulatih, Yusri Che Lah bermula dengan aksi menentang Kedah pada Rabu (5 Jun 2018). – OLEH MUHAMMAD AIMAN