Melaka United terus bernafsu besar di dalam memperkuatkan pasukan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan apabila mendapatkan khidmat bekas penyerang kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani.
Ahmad Fakri yang pernah menimba pengalaman di Portugal menandatangani kontrak selama setahun bersama pasukan bimbingan Eduardo Almeida itu sekaligus menjadi seorang lagi pemain berprofil tinggi berjaya dipancing sang kancil selepas Zamir Selamat, Azmi Muslim, S.Chanturu dan R.Gopinathan.
Begitupun, di sebalik mempunyai reputasi gah malah menjadi sebahagian dari skuad juara Piala FA bersama Kelantan (2013) serta terbaru membantu Kedah menjulang Piala FA dan muncul naib juara Piala Malaysia tahun ini, Fakri pada hakikatnya mengharungi perjalanan karier yang mengecewakan sejak beberapa musim kebelakangan.
Ini kerana dia dilihat sukar memecah masuk ke dalam kesebelasan utama dan lebih banyak digunakan sebagai pemain gantian. Sentuhan jaringannya juga sedikit ‘berkarat’ apabila sekadar menjaringkan tiga gol sepanjang dua musim mewakili Kedah.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Noor Azman Razak bagaimanapun menegaskan kehadiran pemain berusia 28 tahun itu diyakini dapat menambah sengat barisan depan pasukan itu yang gagal mendapatkan khidmat penjaring terbanyak Liga Super, Mohamed Ghaddar.
Selain memberi peluang kepada Fakri mengasah semula sentuhannya, Melaka United yang menamatkan musim 2017 di kedudukan kelapan Liga Super juga telah merekrut semula bekas penjaring terbanyak mereka pada 2015, Nursyamil Abdul Ghani yang dipinjamkan kepada Selangor untuk memperkuatkan jentera serangan.
Mereka dijangka membawa masuk sekurang-kurangnya seorang penyerang import sebagai pengganti kepada Marko Simic yang tidak disambung kontrak.
Melihat kepada persiapan yang dilakukan, Melaka United tidak dinafikan berada dalam landasan tepat untuk memberi cabaran serius dalam saingan musim baru namun sudah tentunya mereka tidak mahu igauan buruk 2017 kembali berulang di mana mereka berbelanja sakan memperkuatkan pasukan sekadar untuk bergelut mengelak terjerumus ke Liga Premier dan tidak berjaya melangkah jauh dalam kedua-dua saingan Piala FA dan Piala Malaysia. – OLEH MUHAMMAD AIMAN