Buat julung kalinya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menganjurkan Townhall Bola Sepak Wanita FAM sebagai inisiatif untuk menghubungkan media serta masyarakat terhadap pelan jangka masa panjang bola sepak wanita negara.
Pada sesi townhall berkenaan, Exco FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dato’ Suraya Yaacob serta timbalannya, Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah bersama ketua jurulatih Malayan Tigress merangkap ketua unit Bola Sepak Wanita FAM, Soleen Al-Zoubi telah berkongsi mengenai pelan jangka masa panjang serta aktiviti bola sepak wanita yang akan dilangsungkan untuk tahun 2024.
Sesi perbincangan secara terbuka itu turut dihadiri oleh Presiden FAM, Datuk Haji
Hamidin Haji Mohd Amin serta kedua-dua Timbalan Presidennya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Dato’ S. Sivasundaram.
Hadir sama adalah Exco FAM, ACP (B) Md Dali Wahid dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman.
Selain itu, FAM turut mengumumkan kapten skuad Malayan Tigress, Steffi Sarge Kaur, penjaga gol, Azurin Mazlan serta pemain, Nur Lyana Soberi sebagai duta bola sepak wanita negara. – FA of Malaysia Facebook