Oleh Muhammad Aiman
Bermula saingan Liga Super 2018, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), akan melaksanakan penggunaan sistem video bantuan pengadil (VAR) dan pengadil profesional sebagai inisiatif meningkatkan mutu pengadilan.
Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin berkata, sistem VAR itu akan dicuba penggunaannya pada saingan separuh akhir dan final Piala Malaysia 2017 sebelum diguna pakai secara menyeluruh mulai awal tahun depan.
“Sejurus DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dipilih sebagai Presiden FAM yang baharu kira-kira dua minggu lalu, baginda telah menitahkan supaya syarikat konsultan dari FIFA ini datang bagi memberikan taklimat kepada kita.
“Tunku Presiden telah bertitah dan berkenan untuk mempersetujui penggunaan VAR dan pengadil profesional ini yang akan kita cuba pilot projeknya mungkin bermula pada separuh akhir hingga final Piala Malaysia musim ini.
“Pengadil profesional pun kita akan mulakan tahun depan. Tapi persiapan ke arah itu akan kita mula dari sekarang dan Jawatankuasa Pengadil FAM sudah pun mengenal pasti 15 hingga 20 orang pengadil elit untuk kita tawarkan sebagai pengadil profesional.
“Tuanku Presiden pun sudah bersetuju dengan jumlah gaji bulanan yang akan diberikan kepada para pengadil profesional ini,” kata Hamidin pada sidang media selepas berakhirnya sesi taklimat VAR dan pengadil profesional anjuran FAM di Hotel Thistle, Johor Bharu pada Selasa.
Sesi taklimat yang turut dihadiri pihak konsultan dari London untuk menerangkan mengenai sistem VAR itu melibatkan penyertaan seramai 30 orang pengadil Liga-M serta 10 orang Penilai Pengadil (RA).
Bagaimanapun Hamidin menegaskan bahawa Tunku Ismail telah menitahkan bahawa integriti dan komitmen para pengadil tetap perlu diambil serius bagi memastikan segala usaha dilakukan itu mencapai objektifnya iaitu untuk meningkatkan mutu pengadilan di negara ini.
“Selain dengan adanya VAR dan pengadil profesional ini, integriti dan komitmen para pengadil juga adalah mustahak. FAM dan pihak berkuasa akan memantau integriti dan komitmen pengadil kerana tanpa semua ini, apa yang kita buat ini tidak akan berguna,” jelas Hamidin.
Ditanya pula mengenai berapa kos yang perlu ditanggung FAM untuk penggunaan sistem VAR itu, Hamidin berkata: “Kosnya memang agak tinggi, sekitar jutaan ringgit tetapi di bawah RM10 juta.
“Selepas perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, kita berpendapat untuk melaksanakannya terlebih dahulu untuk perlawanan Liga Super saja pada tahun 2018 nanti.”
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh berkata, kehadiran sistem VAR ini tidak akan menjejaskan pembangunan pengadil yang tetap perlu meningkatkan tahap kecergasan, kemahiran dan prestasi mereka dalam bidang kepengadilan.
“Pengadil masih tetap perlu membuat keputusan terlebih dahulu dalam perlawanan. VAR ini cuma membantu jika dia melakukan kesilapan besar atau yang jelas kelihatan. Kehidupan pengadil tidak berubah, cuma jika berlaku kesilapan, VAR ini akan dapat membantunya memperbetulkan keputusan yang silap itu.
“VAR ini cuma boleh reviu empat perkara. Pertama, situasi apabila berlakunya kesilapan pemberian gol iaitu sama ada bola sudah ofsaid atau terkena tangan. Kedua, situasi dalam kotak penalti iaitu sama ada benar ia patut diberikan sepakan penalti atau sebaliknya.
“Ketiga, layangan kad merah yang salah iaitu sepatutnya kad kuning atau sebaliknya. Dan keempat, kesilapan mengenalpasti pemain dalam pemberian kad kuning atau kad merah yang dapat diperbetulkan.
“Bagaimanapun, review daripada VAR ini hanya boleh diminta oleh pengadil. Jika pemain yang minta untuk review, dia akan dilayangkan kad kuning,” kata Subkhiddin.
Berhubung pengenalan pengadil profesional, Subkhiddin berasakan ia mampu meningkatkan lagi prestasi dan persembahan pengadil dalam sesuatu perlawanan itu.
“Tunku Presiden sangat memberi perhatian terhadap kebajikan pengadil dan mutu pengadil. Jadi baginda berasakan yang jika pengadil dapat memberi fokus sepenuhnya karier sebagai pengadil, sudah tentu dia akan memberikan persembahan lebih baik, ditambah pula dengan gaji diterima lebih baik.
“Menjelang tugasan sesuatu perlawanan, pengadil profesional ini perlu hadir untuk latihan pusat termasuk sesi taklimat oleh jurulatih mereka yang akan memberikan pendekatan taktikal supaya dia lebih bersedia untuk menghadapi sesuatu perlawanan itu,” jelas Subkhiddin.