Kekalahan 1-2 kepada PDRM FC pada aksi sulung Kumpulan A Piala MFL menjadi pengajaran berguna buat Skuad Projek FAM-MSN yang sedia memperagakan rentak berbeza apabila bertemu Kelantan United FC, pada Khamis di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Ujar ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Noor Zaidi Rohmat, beliau telah mengenal pasti beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki selain menggesa pemain-pemain mudanya mampu mengekalkan fokus selama 90 minit dalam permainan.
Justeru, dia mengharapkan peningkatan mampu ditunjukkan oleh pemain-pemain bagi memberikan saingan kepada Kelantan United yang bakal membuat penampilan sulung selepas penangguhan aksi bertemu Sabah FC pada minggu lalu.
” Saya mahu pada perlawanan kedua ini, pemain-pemain boleh perbaiki segala kelemahan yang berlaku pada aksi pertama dengan PDRM.
” Setakat ini, kesungguhan dari setiap pemain ada terpancar yang mereka mahu buktikan sesuatu dan perbaiki apa jua kesilapan untuk memastikan pasukan boleh meraih sesuatu semasa bertemu Kelantan United.
” Pengalaman mungkin membezakan pasukan ini dengan pasukan lain kerana 8 sahaja pemain dari skuad musim lalu masih kekal dan selebihnya pertama kali merasai liga yang kompetitif sebegini.
” Justeru, mereka kena sentiasa konsisten 90 minit,bukan sekadar untuk 45 minit sahaja serta tiada ruang untuk membuat kesilapan,” katanya.
Pada perlawanan 2 Mac lalu, Skuad Projek FAM-MSN bermula baik apabila mendahului seawal minit ke-1 melalui Harith Najwan Jamil sebelum lawan bangkit mendapatkan dua jaringan dari Aiman Sufi Radzai(minit ke-34) dan Nnabuike Chukwu(minit ke-65).
Satu lagi perlawanan Kumpulan A Piala MFL menyaksikan JDT II bermula dengan langkah kanan apabila menang tipis 1-0 ke atas Penang FC.
Berdepan Kelantan United, Noor Zaidi mengesahkan khidmat penjaga gol, Muhammad Izzul Azry Abu Mansor terpaksa dilupakan ekoran kecederaan di bahagian kepala apabila bertembung dengan Nnabuike.
Namun, beliau menarik nafas lega apabila dapat menggunakan kembali khidmat 14 pemain yang baharu sahaja selesai mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), minggu lalu.
” Izzul mengalami gegaran di bahagian kepala, kesan daripada insiden tersebut tetapi syukur dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
” Cuma dia masih perlu berehat selama seminggu lagi dan saya masih ada Hazeem Iman serta seorang lagi penjaga gol (Aiman Haziq) yang boleh diturunkan.
” Saya juga akan membuat sedikit rombakan selepas menerima semula 14 pemain yang telah selesai mengambil SPM, termasuk Saffy Zikry(pemain kacukan Cameroon-Malaysia) yang beraksi di posisi penyerang,” katanya.
Perlawanan lain yang turut berlangsung pada 9 Mac ialah antara PDRM bertemu JDT II di Stadium UiTM) pada 5.15 petang.
Manakala tiga lagi perlawanan pada 10 Mac bagi Kumpulan B membabitkan Kuching City FC lwn Negeri Sembilan(Stadium Negeri), Terengganu II lwn Penang FC (Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah) dan Selangor FC lwn KL City Extension(Stadium UiTM).