Oleh Muhammad Aiman
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan memperkenalkan sistem pendaftaran pemain dan pegawai pasukan-pasukan Liga Malaysia serta ahli gabungan menerusi program FAM MyPAS, Disember ini.
Program yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 7 November lalu menerusi projek badan induk itu; âFIFA Connectâ akan membantu dalam integrasi maklumat-maklumat pemain serta pegawai secara menyeluruh dan sistematik bagi memudahkan pendtadbiran dan pengurusan pasukan masing-masing.
Setiausaha Agung FAM, Datoâ Hamidin Amin berkata teknologi yang digunapakai FAM MyPas akan memberi impak besar kepada pentadbiran pasukan-pasukan Liga-M musim depan sejajar dengan matlamat mereka sebagai sebuah organisasi yang sentiasa memandang ke depan.
âMelalui platform ini, kesemua pemain dan pegawai yang berdaftar akan diberikan pengenalan diri (ID) tersendiri dan akan menjadi asas dari aspek kawalan umur, perlindungan pemain bawah umur serta pembangunan bolasepak di setiap peringkat berteraskan ketelusan maklumat,â katanya.
Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program tersebut, FAM akan menganjurkan sesi bengkel latihan bersama para pegawai pentadbir dari setiap pasukan Liga-M dan ahli-ahli gabungan pada 28 dan 29 November ini bertempat di Wisma FAM, Kelana Jaya.