Oleh Muhammad Aiman

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membuat keputusan menunda aksi kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara yang sepatutnya berlangsung pada 28 Mac depan di Stadium Kim Il-Sung, Pyongyang.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini memohon AFC mempertimbangkan gelanggang berkecuali kerana tidak mahu bermain aksi itu di Pyongyang berikutan hubungan diplomatik yang terjejas di antara kedua-dua negara sehingga timbul keraguan mengenai jaminan keselamatan.

Namun, jawatankuasa pertandingan AFC yang bersidang pada Jumaat berpendapat penundaan perlawanan adalah keputusan lebih tepat dan satu tarikh baru akan ditetapkan kemudian selepas hubungan di antara kedua-dua negara kembali pulih.

Perkhabaran itu disambut baik FAM yang berpendapat itu adalah solusi terbaik demi keselamatan para pemain serta pegawai pasukan dan setiausaha agungnya, Datoā€™ Hamidin Mohd Amin menyerahkan sepenuhnya kepada AFC untuk menentukan tarikh baru bagi perlawanan itu.

Penundaan itu bermakna Malaysia bimbingan Datoā€™ Ong Kim Swee hanya akan beraksi satu perlawanan persahabatan menentang Filipina pada 20 Mac depan.

Kim Swee pada Khamis telahpun mengumumkan senarai 23 pemain untuk hadir ke kem latihan pusat dengan lima pemain baru disenaraikan iaitu Farizal Harun, Nasir Basharudin, Akram Mahinan, Afif Amiruddin dan Khair Mohd Jefri Jones.

Ia akan menjadi aksi pertama pasukan Harimau Malaysia selepas kegagalan di Piala AFF Suzuki pada Disember tahun lalu.Ā 

- Advertisement -