Tidak mahu isu melibatkan pemotongan gaji berlarutan tanpa noktah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyediakan panduan kepada pasukan atau kelab Liga Malaysia dengan kadar potongan diantara 10 hingga 30 peratus.

Panduan itu boleh dimanfaatkan oleh pasukan / kelab berdasarkan kedudukan kewangan mereka.

Berikut merupakan empat kadar potongan gaji yang dicadangkan oleh FAM:

Kategori 1: RM4,999 dan ke bawah = Pemotongan 10 peratus

Kategori 2: RM5,000 – RM9,999 = Pemotongan 15 peratus

Kategori 3: RM10,000 – RM14,999 = Pemotongan 20 peratus

Kategori 4: RM15,000 dan ke atas = Pemotongan 30 peratus

 

Setiausa Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan kadar pemotongan gaji bagi kategori 1 hingga 3 dicadangkan bermula pada April manakala kategori 4 pula hanya perlu dilakukan pemotongan sebanyak 25 peratus sahaja dan potongan 30 peratus hanya bermula pada Mei.

Tambahnya, bagi pemotongan yang melebihi kadar 30 peratus itu perlu dikira sebagai penangguhan pembayaran dan ia berdasarkan persetujuan bersama selepas perbincangan secara muhibah antara pasukan atau kelab, pemain dan pegawai.

“Sebagai contoh, jika saingan disambung semula pada Julai 2020, gaji bulan berkenaan masih dipotong dan gaji penuh hanya akan bermula gaji Ogos 2020. Jika saingan bersambung pada Ogos 2020, maka gaji penuh hanya akan bermula gaji September 2020,” katanya.

Stuart mengingatkan pasukan dan kelab bertanding supaya mematuhi Garis Panduan Isu Peraturan Bola Sepak Berkaitan COVID-19 yang dikeluarkan FIFA pada 7 April lepas, serta Statut FIFA dan Statut FAM.

Tiada tempoh masa yang diberikan kepada pasukan/ kelab berhubung pemotongan gaji ini dan FAM mengharapkan pemain dan pengurusan mampu untuk berbincang secara profesional dalam menentukan kadar potongan.

Malah, persetujuan juga perlu dicapai melibatkan kedua dua pihak agar tidak lagi wujud pasukan yang terkubur susulan masalah kewangan seperti yang telah berlaku sebelum ini.

Dalam pada itu, FAM tidak menerima sebarang laporan rasmi berhubung isu tunggakan gaji melibatkan pemain bagi bulan Mac.

FAM memberi tempoh dua minggu dari 9-22 April kepada pasukan Liga-M berhubung persetujuan bersama antara pemain dan pegawai pasukan masing-masing mengenai status penggajian dalam kontrak.

Badan induk itu kemudian mengambil langkah susulan dengan meminta pengendali Liga-M, iaitu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) supaya mengadakan perbincangan bersama dengan Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengenai kaedah terbaik dalam membantu pemain menangani kesan kewangan pasukan susulan penularan wabak COVID-19.

- Advertisement -