Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan kedudukan sebenar di sebalik penamatan khidmat Lim Teong Kim sebagai Ketua Jurulatih Kebangsaan Bawah – 16 sambil menegaskan sokongan padu terhadap Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, Teong Kim dicalonkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menggalas tugas itu atas kedudukannya sebagai ketua jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang menduduki kemuncak piramid dalam struktur NFDP.
Katanya, dalam usaha menyokong projek NFDP dalam mencapai matlamat layak ke Piala Dunia B-17 2019 di Peru, FAM bersetuju untuk menyenaraikan keseluruhan skuad NFDP berserta panel jurulatihnya untuk bertanding dalam Kejuaraan AFC B-16.
“Setiap lantikan jurulatih dalam mana-mana penyertaan antarabangsa perlu melalui badan induk, seterusnya kami bersetuju dengan pencalonan KBS untuk melantik Teong Kim sebagai Ketua Jurulatih pasukan.
“Sepanjang persiapan ke arah kejohanan itu, FAM telah memberi sokongan terbaik kepada pasukan dengan harapan pasukan ini dapat mencapai objektif yang ditetapkan NFDP sendiri, iaitu kemaraan ke separuh akhir,” katanya.
“Bagi menggambarkan sokongan kami, FAM tidak langsung campur tangan dalam pemilihan jurulatih walaupun ada hak berbuat demikian. Padahal kami mempunyai hak untuk memilih jurulatih lain yang harus diberi hak memilih pemainnya sama ada yang berada dalam atau luar sistem NFDP.
“Kontrak Teong Kim bukan di bawah FAM maka dengan berakhirnya Kejuaraan B-16 2018 ini, FAM mengambil tindakan menamatkan peranannya selaku Ketua Jurulatih Malaysia B-16.
“Beliau dan FAM tidak ada kaitan sama sekali kerana beliau adalah kakitangan yang dilantik KBS, bukan FAM,” kata Stuart.
Stuart juga menegaskan penamatan khidmat Teong Kim sebagai ketua jurulatih B-16 dan peranannya sebagai ketua jurulatih AMD di bawah NFDP adalah dua isu yang berbeza.
“Berkenaan NFDP, FAM ketika ini sedang dalam perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan KBS bagi menyeragamkan langkah susulan. Selama ini, FAM tidak dibabitkan dalam membuat keputusan berunsurkan teknikal.
Bagaimanapun, Stuart menegaskan FAM menyokong penuh agar NFDP diteruskan sebagai agenda nasional yang dapat melahirkan pemain bola sepak berbakat pada usia muda.
“Kami beranggapan ia adalah projek yang hebat, bagaimanapun kami ingin tekankan perlu ada penilaian semula agar semua pihak mendapat pemahaman yang sama sejajar dengan matlamat mencapai keputusan lebih baik
“Saya ingin jelaskan keputusan yang FAM buat adalah bersandarkan kepentingan serta pembangunan bola sepak Malaysia. Kami berharap dapat berkerjasama dengan semua pihak dalam melahirkan suasana yang lebih kondusif dan positif untuk mencapai keputusan yang kita inginkan,”katanya.