Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima sekitar USD7.6 juta (kira-kira RM35 juta) menerusi Program Pembangunan menerusi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dari 2016 hingga 2022.
Menurut laporan FIFA Forward Global mengenai aktiviti pembangunan yang dikeluarkan badan induk bolasepak dunia itu, ia berjumlah 78.6 peratus daripada jumlah kelayakan USD9.9 juta untuk Malaysia.
Laporan itu menyatakan bahawa USD2.5 juta dibelanjakan untuk pentadbiran, manakala USD1.6 juta dibelanjakan untuk infrastruktur dan USD1.3 juta untuk pertandingan dalam dua kitaran pertama program antara 2016 dan 2022.
Inisiatif bola sepak wanita menerima USD700,000, diikuti dengan perbelanjaan operasi tidak digunakan/bolasepak (USD700,000), pembangunan kapasiti (USD400,000), peralatan dan lain-lain (USD200,000), dan pasukan kebangsaan (USD200,000).
FIFA berkata ia meluluskan lapan projek di Malaysia, dengan lebih USD2.1 juta dibelanjakan.
Menurut laporan itu, FIFA telah menetapkan kira-kira USD2.8 bilion untuk pelaburan dalam 211 persatuan ahlinya, serta dalam konfederasi dan pelbagai persatuan zon/serantau, untuk meningkatkan pembangunan bolasepak di wilayah mereka di bawah program yang dilancarkan pada Mei 2016.
Kitaran seterusnya yang dikenali sebagai Forward 3.0 akan bermula pada Januari 2024.