Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menzahirkan rasa simpati terhadap kecederaan serius dialami pemain Tajikistan Ziyovuddin Fuzaylov dan mendoakan agar pemain itu segera sembuh.
Ziyovuddin mengalami kecederaan yang dilihat berpotensi menjejaskan kariernya akibat terjahan oleh pemain pertahanan negara Nabil Hakim yang kemudiannya dilayangkan kad merah ketika pertemuan antara Malaysia-Tajikistan di Kejuaraan AFC B-19 yang sedang berlangsung di Indonesia.
Nabil sebelum itu menjaringkan gol penyamaan untuk Malaysia bangkit mengikat kedudukan 2-2.
Video insiden tersebut menjadi viral dan Nabil menerima kecaman hebat daripada penyokong yang menganggap kegagalan menangani emosi dan ketahanan mental yang lemah punca ianya berlaku.
Namun begitu sudah tentunya Nabil sendiri tidak ada sebarang niat untuk mengasari pemain lawan dan apa yang berlaku adalah sebahagian daripada risiko kecederaan dalam perlawanan.
Apapun, diharapkan agar Ziyovuddin segera pulih dan tidak perlulah kita menjadikan pemain kita sendiri sebagai kecaman dan menjatuhkan lagi moral mereka sebaliknya ayuh berikan sokongan agar Nabil dan skuad B-19 akan bangkit memburu kemenangan pertama dalam aksi seterusnya menentang China.
Keputusan seri menentang Tajikistan meletakkan Malaysia bimbingan Bojan Hodak di tangga ketiga Kumpulan D dengan satu mata, tiga mata di belakang Tajikistan.
Malaysia perlu menewaskan China sekurang-kurangnya dengan defisit dua gol dan mengharapkan Tajikistan tewas dengan defisit jaringan sama kepada Arab Saudi dalam aksi terakhir kumpulan pada Jumaat. – OLEH MUHAMMAD AIMAN