Lebih kurang empat minggu lalu, Presiden baru Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Dr Amar Pritpal Abdullah berjanji tunggakan gaji pemain-pemain dan anggota pasukan itu yang menjangkau enam bulan akan diselesaikan secepat mungkin.
āPerkara utama yang diberi tumpuan adalah menyelesaikan tunggakan gaji para pemain, jumlah tunggakan mencecah RM700,000 sebulan dan paling cepat saya harap dapat selesaikan bulan depan,ā itu adalah kata-katanya ketika dilantik sebagai Presiden FAP pada 24 September lalu.
Berpegang kepada janji tersebut, barisan pemain Pulau Pinang sudah menjangkakan kesengsaraan dan kesempitan hidup mereka akan akhirnya menemui titik noktah.
Namun, janji tinggal janji. Jangankan bayar hutang, seorangpun pemain langsung tidak menerima panggilan atau dihubungi untuk membincangkan perkara tersebut.
Kegagalan FAP melunaskan janji tersebut, membuatkan salah seorang pemainnya, Raimi Mohd Nor bengang dan cukup terkilan kerana pelbagai usaha untuk mendapatkan tunggakan gaji lebih enam bulan masih tidak menampakkan sebarang sinar.
āMinta cara lembut sudah, marah pun sudah tapi semua tak jalan, saya sudah tidak tahu nak buat macam mana dan benar-benar buntu sekarang. Saya ada keluarga untuk ditanggung, ada pinjaman perlu dijelaskan. Malah, kerana masalah ini, saya tidak mampu membuat bayaran untuk mendapatkan kunci rumah baharu walaupun rumah itu sudah lama siap.
āSaya juga malu dengan saudara mara dan kawan-kawan kerana masih belum mampu membayar wang yang saya pinjam daripada mereka untuk menampung kehidupan selepas gaji tertunggak,ā dedah Raimi.
Apa yang membuatkan Raimi lebih bengang apabila pentadbiran baharu FAP seolah-olah lupa pada janji yang mereka sendiri canangkan dan mengambil sikap lepas tangan.
āPada 10 Oktober lalu, saya sudah menemui pentadbiran baharu FAP untuk membincangkan isu ini tapi tidak ada kata putus dicapai. Sebaliknya, ada pegawai FAP cakap dengan saya, masalah yang kami hadapi sekarang bukan tanggungjawab mereka kerana ia berlaku semasa pentadbiran lama.
āDia cakap āDepa (pentadbiran lama) yang tinggai najis, takkan kami yang kena cuci?ā Pada saya cakap-cakap macam ini memang tidak patut kerana apabila mereka setuju mengambil alih, mereka perlu bersedia menyelesaikan apa sahaja masalah persatuan itu termasuk hutang dan tunggakan gaji,ā kata Raimi yang menganggap keputusan menyertai Pulau Pinang sebagai satu kesilapan besar.
Sebagai rekod, kemelut kewangan kritikal Pulau Pinang memberi impak besar kepada prestasi pasukan itu yang menamatkan saingan Liga Perdana 2018 di tangga kedua tercorot selepas sekadar mengutip 21 mata dari 20 perlawanan.
Namun begitu di sebalik kemelut memalukan ini, mereka sudahpun membuat persiapan musim 2019 dengan Ahmad Yusoff sudahpun diumumkan sebagai ketua jurulatih menggantikan Zainal Abidin Hassan.Ā MUHD AIMANĀ