Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi mengakui betapa cabaran sukar menanti pasukan gimnastik wanita negara dalam mempertahankan tiga pingat emas yang dimenangi di temasya Sukan SEA Singapura dua tahun lalu di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) Ogos depan.
Malaysia ketika itu memenangi pingat emas acara berpasukan wanita manakala Farah sendiri menyumbang emas individu menerusi acara senaman lantai dan satu lagi hadir menerusi Tan Ing Yueh yang mengungguli acara palang bertingkat.
Menurut Farah yang baru-baru ini membantu pasukan gimnastik wanita negara menduduki tempat keempat di Kejohanan Asia di Bangkok, dia menjangkakan persaingan di KL 2017 jauh lebih sengit berbanding di Singapura.
“Kita ke sana (Bangkok) untuk melihat sejauh mana saingan dan di mana standard kita. Kita telah berpeluang melihat kekuatan pasukan seperti Thailand, Filipina, Indonesia, Singapura, kita perlu akui semua mempunyai pasukan hebat dan mantap. Jadi saya boleh katakan persaingan di KL 2017 dua kali ganda lebih sukar tetapi Malaysia akan buat yang terbaik.
“Apa sekalipun, kita tidak boleh katakan pencapaian di Bangkok itu sebagai gambaran awal apa akan berlaku di KL 2017 kerana Indonesia, Filipina atau Singapura siapapun tidak menghantar pasukan penuh. Malah kita sendiri tidak hantar pasukan penuh, hanya empat atlet sahaja.
“Apa yang penting adalah kita hanya tumpu pada diri sendiri dan jangan fikir pasal negara lain. Persiapkan diri dan betulkan apa yang masih kurang. Jika tidak susah untuk kita berikan yang terbaik, buat yang terbaik keputusan akan datang dengan sendiri,” kata atlet berusia 23 tahun itu.
Farah ditemui Sports247.my pada Majlis Penyerahan Kumpulan Pertama Kenderaan Rasmi KL 2017 dari NAZA Corporation Holding kepada Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) dan Pelancaran Kempen Pledge Car oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin di Pusat Pameran Peugeot, Glenmarie pada Khamis.
Farah yang turut menyumbang satu pingat perak dan tiga gangsa di Singapura berkata dia sedar betapa ekspetasi peminat sukan tanah air pastinya tinggi apatah lagi temasya kali ini berlangsung di bumi sendiri justeru menegaskan ianya penting untuk menangani tekanan itu dengan baik.
Ditanya mengenai acara yang dijangka menjadi kekuatan pasukan wanita negara, Farah berkata, “Acara berpasukan adalah kekuatan kita kerana kita semua bekerjasama dan membantu satu sama lain. Untuk individu, sukar untuk katakan kerana semuanya adalah seimbang tidak banyak beza. Kalau masih ingat di Singapura dulu pun saya menang emas lantai hanya dengan beza mata yang sangat kecil.”
Pasukan wanita negara yang berlatih di bawah bimbingan Natalya Sinkova dan Ng Shu Wai akan menamakan senarai akhir enam atlet bagi membawa cabaran di KL 2017 setelah membuat penilaian teliti mengenai kekuatan masing-masing di dalam disiplin yang berkaitan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN