Ratu Gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi optimis meletakkan sasaran untuk meraih pingat emas buat negara bagi acara berpasukan pada temasya sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) yang kini hanya tinggal kurang daripada dua bulan sahaja lagi.
Menurut atlet berusia 23 tahun itu, beliau dan skuad gimnas negara sudah melakukan persiapan rapi bagi memastikan sasaran yang diletakkan tercapai pada temasya sukan SEA KL2017 Ogos ini.
“Latihan untuk kali ini ‘quite hard’ daripada kebiasaan sebab sukan SEA sudah semakin hampir jadi, saya dan skuad gimnas negara masing-masing perlu membiasakan diri bagi latihan ini,” katanya ketika ditemui di dewan gimnastik, Bukit Jalil hari ini (13 Julai).
Dalam masa yang sama, Farah Ann berkata untuk sasaran utama yang diletakkan beliau bagi temasya sukan SEA KL2017 yang akan bermula pada 19 Ogos ini adalah mempertahankan pingat emas dalam acara berpasukan yang dimenangi pada 2015 di Singapura.
“Tapi apa-apa pun kami perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki beberapa kelemahan dalam rutin latihan masing-masing supaya sasaran dapat kami capai dan buat yang terbaik untuk sukan SEA nanti,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai saingan atau pencabar terkuat, atlet gimnastik artistik itu walau bagaimanapun tidak mahu terlalu memikirkan acara individu namun menganggap ia sebagai bonus jika beliau mendapat emas dalam acara individu.
“Saya tidak mahu memikirkan sangat sebab saya rasa bagi acara individu, kebanyakan atlet dari negara Asia sangat bagus dan kuat juga tapi jika saya dapat emas untuk individu, itu adalah bonus dan bagi acara berpasukan saya rasa saingan paling kuat adalah dari negara Singapura,” katanya lagi.
Terdahulu, Farah Ann adalah pemenang dua pingat emas bagi acara senaman lantai dan berpasukan pada edisi 2015 di Singapura. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI