Aksi cemerlang ditunjukkan Faridzuean Kamarudin dalam saingan Piala Malaysia berjaya meyakinkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) untuk mengekalkan khidmat penjaga gol itu bagi mengharungi saingan Liga Premier musim depan.
Kontrak Faridzuean yang didapatkan secara pinjaman dari Melaka United akan tamat pada November dan pemain itu mengesahkan telah mendapat tawaran kontrak baru dari KAFA.
Bagaimanapun penjaga gol berusia 23 tahun yang turut pernah membantu Sime Darby menjuarai Piala FAM 2017 berkata dia memerlukan masa untuk membuat keputusan kerana dalam masa sama sedang mempertimbangkan beberapa tawaran lain.
“Saya perlu membuat keputusan tepat melihat kepada beberapa faktor termasuklah peluang bermain. Saya perlukan sedikit masa kerana pasukan Liga Malaysia lain juga ada menyatakan minat, saya akan berbincang dulu dengan KAFA dan kemudian memberitahu media apa keputusan yang telah diambil,” kata Faridzuean.
Pemain berasal dari Kota Bharu itu merupakan penjaga gol kelima digunakan Kelantan musim ini selepas Khairul Fahmi Che Mat, Ramadhan Hamid, Fikri Che Soh dan Shahrizan Ismail.
Dia dibawa masuk ke dalam skuad sebagai pertukaran kepada Khairul Fahmi yang menyertai Melaka United pada jendela perpindahan kedua Mei lalu dengan status selaku pemain pinjaman.
Kehadiran Faridzuean pada mulanya dikritik hebat bukan kerana dia tidak bagus, tetapi penyokong merasakan ia satu keputusan kurang bijak daripada KAFA untuk melepaskan penjaga gol nombor satu kebangsaan dan membawa masuk penjaga gol nombor tiga Melaka United sebagai pengganti.
Kecederaan dialami Shahrizan menyaksikan Faridzuean membuat penampilan sulung ketika aksi terakhir Liga Super menentang Pahang di gelanggang sendiri tetapi dalam saingan Piala Malaysia, Yusri Che Lah menurunkannya sebagai penjaga gol utama.
Faridzuean membalas kepercayaan dengan menunjukkan aksi bertenaga di gawang apabila bolos hanya tiga gol dan mencatat empat ‘clean sheet’ dalam aksi peringkat kumpulan – menjadikan Kelantan sebagai pasukan dengan defensif terbaik seterusnya membawa mereka ke suku akhir.
Walaupun dia sekali lagi tampil cemerlang ketika aksi suku akhir menentang Sabah, ketumpulan sentuhan penyudah membawa padah buat Kelantan yang menyaksikan mereka akhirnya tersingkir dengan kelebihan jaringan tempat lawan milik Sabah setelah agregat terikat 2-2. MUHD AIMAN