Persatuan paling bermasalah adalah tag yang diberi kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) – bermasalah dari segi kewangan, pentadbiran, pengurusan pemain, presiden, prestasi, pemasaran dan banyak lagi perkara yang boleh digariskan.
Tetapi di sebalik semua masalah itu, Kelantan bimbingan Yusri Che Lah berjaya menempatkan diri di kelompok lapan terbaik Piala Malaysia dan penyokong mereka boleh dimaafkan jika kejayaan menundukkan Kedah dalam aksi terakhir masih diraikan sebagai satu pesta.
Mana tidaknya, di sebalik tidak diletakkan harapan tinggi dan di ambang tersingkir awal, mereka menterbalikkannya dengan penuh bergaya, namun ianya mungkin tidak menjadi kenyataan jika tidak kerana kecemerlangan luar biasa ditunjukkan penjaga gol Faridzuean Kamaruddin.
Penjaga gol berusia 23 tahun ini menjadi kekuatan utama sang kijang di barisan belakang dan prestasinya mencuri tumpuan ramai apabila tampil bertenaga dengan deretan aksi menyelamat cemerlang sehingga ada yang terkesima untuk melihat sebuah pasukan yang tiada ‘clean sheet’ dalam Liga Super berjaya mencatatkan empat kali ‘clean sheet’ dalam Piala Malaysia.
Faridzuean mengekalkan gawang dari dibolosi ketika menentang Kedah di Alor Star serta Johor Darul Takzim, MIFA dan Kedah di Kota Bharu. Antara yang menjadi perbualan adalah ‘double save’ yang dilakukannya ketika mengecewakan Kedah pada Ahad lalu.
Sebagai rekod, Faridzuean adalah penjaga gol kelima yang digunakan oleh Kelantan musim ini.
Kelantan merupakan salah satu daripada sebilangan kecil pasukan yang menggunakan paling ramai penjaga gol bermula dari aksi pertama Liga Super sehinggalah ke aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia.
Ramadhan Hamid beraksi dalam perlawanan pertama, beberapa aksi berikutnya penjaga gol nombor satu Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat kembali merampas semula posisinya.
Kemudian selepas kedatangan Fajr Ibrahim kedua-duanya disisihkan dan penjaga gol Piala Presiden Fikri Che Soh pula mendapat kepercayaan namun aksi kurang meyakinkan memaksa mereka menurunkan pula penjaga gol veteran Shahrizan Ismail manakala Faridzuean diturunkan sepanjang kempen Piala Malaysia.
Kehadiran Faridzuean ke Kelantan pada mulanya tidak begitu disenangi penyokong-penyokong TRW dan disambut dingin kerana mereka melihat ia sebagai ‘langkah ke belakang’.
Ini kerana Faridzuean yang merupakan penjaga gol ketiga Melaka United didapatkan sebagai pertukaran kepada Khairul Fahmi yang menyertai pasukan itu di jendela perpindahan kedua.
Melepaskan penjaga gol utama kebangsaan dan membawa masuk penjaga gol ketiga Melaka sebagai pengganti, serius KAFA merasakan ini satu tindakan betul?
Tetapi Faridzuean membuktikan bahawa Kelantan tidak silap dan dia kini berjaya meletakkan namanya sebagai salah seorang tonggak utama pasukan dan andai Kelantan mengintai peluang untuk meneruskan kemaraan dalam saingan Piala Malaysia, kelibat Faridzuean adalah instrumental dan bakal menjadi sandaran utama mereka apabila turun menentang Sabah di suku akhir. MUHD AIMAN