Pemain pertahanan, Mohamad Faris Shah Mohd Rosli mengharapkan pengalaman yang diperoleh ketika mengetuai skuad kebangsaan bawah-22 tahun dalam perlawanan persahabatan menentang skuad bawah 22 tahun Filipina dan skuad senior Nepal akan membantu ketika menghadapi Kejohanan Piala Negara Negara Jun depan.
Pemain berusia 21 tahun itu yang bersama pasukan Piala Presiden Kelantan ketika ini melihat Piala Negara Negara 2016 di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 3 dan 5 Jun ini sebagai medan terbaik buat dirinya untuk meningkatkan kemahiran untuk lebih maju sekaligus tersenarai ke skuad sukan SEA 2017 kelak.
“Ia adalah satu penghormatan untuk mengetuai pasukan negara bermain dalam Piala Negara Negara nanti. Tugas selaku kapten negara ketika perlawanan persahabatan menentang skuad bawah 22 tahun Filipina dan skuad senior Nepal adalah satu pengalaman berguna untuk saya bagi membimbing rakan sepasukan yang lain”, kata pemain berasal dari Kota Bharu itu.
“Saya begitu berharap dipilih bermain untuk Piala Negara Negara. Pemilihan oleh jurulatih sedang dijalankan sekarang dan saya tekad untuk menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan yang akan berentap di Melaka nanti”, tambah bekas pemain Harimau Muda.
Selain Malaysia, turut sama beraksi di Piala Negara Negara adalah skuad bawah 22 Thailand, Vietnam dan Singapura.