Persatuan Bolasepak Kelantan pada Selasa telah mengumumkan berjaya mengikat bekas pemain Pahang dan Melaka United, Fauzi Roslan untuk memperkuatkan skuad yang bakal beraksi di Liga Premier 2019.
Fauzi yang digelar sebagai ‘supersub’ ketika mewakili Pahang, berjaya meyakinkan panel kejurulatihan diketuai Jorg Steinebrunner ketika sesi pemilihan terbuka pada minggu lalu dan telah menandatangani kontrak bersama Kelantan pada Isnin.
Kemasukan pemain berusia 31 tahun bermakna dia hanyalah pemain kedua yang berusia lebih 30 tahun di dalam pasukan selepas Farisham Ismail.
Kelantan dijangka mempertaruhkan majoriti pemain muda dari skuad musim ini ditambah dengan beberapa pemain muda lain yang diserap dari skuad Piala Presiden antaranya Nik Akif Syakiran Nik Mat, Danial Ashraf Abdullah, Nik Azli Nik Alias, Imran Samso, Hakimi Abdullah serta Danial Hakim Draman.
Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Bibi Ramjani baru-baru ini telahpun memaklumkan mereka akan beroperasi dengan bajet terhad sekitar RM5 juta.
Apa yang penyokong Kelantan boleh harapkan dari Fauzi Roslan atau dikenali dengan nama Kojie? Di sebalik namanya dikenali dalam arena bolasepak tempatan, pemain ini tidaklah mendapat minit bermain yang kerap sejak ketika bersama Pahang dan seterusnya Melaka United di mana dia lebih banyak digunakan sebagai pemain gantian.
Namun, kelebihan Fauzi adalah dia boleh bertindak sebagai ‘game-changer’ dan seringkali menjadi penyelamat pada saat-saat yang memerlukan, itu sebab dia digelar ‘supersub’ namun peranannya mungkin jauh lebih besar di Kelantan memandangkan mereka tiada pemain berpengalaman di posisi sayap mahupun serangan.
Malah, dia juga seringkali mencuri tumpuan dengan menjaringkan gol-gol dari sudut sukar dan dalam satu analisis beberapa tahun lepas, pemain ini dianggap boleh memberikan impak besar walaupun tidak bermain sekerap pemain lain, pemain yang boleh memberikan 200% apabila bermain dalam tekanan dan dilabel sebagai ‘modern no.9’.
Jadi, sejauh mana keterujaan penyokong Kelantan dengan kehadiran pemain ini dan apa yang diharapkan dari pemain ini. Dapatkah dia menepati ekspetasi dan membantu Kelantan untuk kembali ke kancah Liga Super? MUHD AIMAN