Ahmad Fazli Sham kembali menghangatkan litar dan sedia memberikan cabaran dalam saingan CP150 setelah disahkan pulih dari kecederaan bahu pada saingan pusingan keenam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Bandar Jasin Bestari, Jasin, Melaka, 5 dan 6 Ogos ini.
Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu terlepas aksi pusingan lepas di Maeps, Serdang akibat kecederaan bahu yang menimpa ketika menjalani latihan seminggu sebelum perlumbaan bermula namun masih kekal di tangga ketiga keseluruhan dengan mengumpul 40 mata.
Selepas lima pusingan, juara Expert 2007 dan 2008 itu kini ketinggalan 35 mata kepada rakan sepasukan, Kasma Daniel Kasmayudin dan 27 mata di belakang Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) yang mengumpul 67 mata.
“Kecederaan bahu saya sudah pulih walaupun belum 100 peratus, namun saya tidak sabar untuk kembali ke litar. Pada pusingan lepas, saya tetap ingin beraksi namun terpaksa akur dengan nasihat doktor yang mahukan saya berehat,” jelas Fazli.
Tambahnya, “Saingan penggal kedua kejuaraan musim ini juga semakin sengit. Pelumba dan pasukan bertanding sudah menunjukkan banyak peningkatan berbanding di awal musim, malah kehadiran rakan sepasukan yang baharu, Ramdan Rosli juga menjadikan perebutan podium semakin mencabar. Saya akan menggunakan kelebihan pengalaman saya untuk menaiki podium pada minggu ini.”