CERIA: Ahmad Fazli di grid permulaan salah satu perlumbaan musim lepas.
AHMAD FAZLI SHAM masih bersemangat memburu gelaran juara dalam saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, sekalipun gagal mempamer prestasi terbaik sepanjang dua musim lepas.
Pelumba 32 tahun itu sekadar meraih pencapaian terbaik di tempat keempat pada musim 2012 manakala seringkali hanya berada di kelompok pertengahan pada saingan tahun 2013.
Pencapaian terbaiknya pada musim lalu sekadar menduduki tangga ketiga sewaktu pusingan pembukaan dan muncul naib juara perlumbaan terakhir di Shah Alam manakala selebihnya gagal berada di kelompok lima pelumba teratas, termasuk tidak menamatkan perlumbaan pada baki perlumbaan lain yang hanya meletakkannya di tangga ketujuh keseluruhan.
âPencapaian saya tidak begitu baik pada dua musim lepas, namun ia perkara biasa di dalam karier seorang pelumba. Adakala kita mencapai keputusan baik dan adakalanya tidak. Di sebalik pencapaian kurang memberangsangkan ini, saya percaya saya masih berada pada prestasi terbaik dan masih dahagakan kejayaan dalam setiap perlumbaan,â jelas Fazli yang kali terakhir meraih gelaran juara pada musim 2011.
âBanyak faktor menyumbang kepada masalah ini terutama apabila kami seringkali melakukan kesilapan serupa terhadap pelarasan jentera. Walaupun kesilapan sebegini agak mengecewakan, namun saya tetap cuba memberikan yang terbaik dan membantu pasukan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Hasilnya kami masih mampu meraih dua kedudukan podium,â tambahnya.
Enggan mengingati kesilapan lepas, juara dua kali CP130/Expert itu optimis beliau mampu kembali berada pada prestasi terbaik dan bersaing merebut gelaran juara pada musim ini.
âWalaupun tidak begitu bernasib baik, namun ada ketika di mana kami masih mampu memberikan saingan kompetitif, jadi tidak mustahil kami mencapai keputusan lebih baik pada musim ini. Namun ini bukan jaminan untuk berjaya, sebaliknya kami perlu lebih bersedia dan mengkaji kesilapan sebelum ini dan saya sendiri juga perlu meningkatkan prestasi saya bersesuaian dengan mutu saingan yang lebih sengit ketika ini,â jelas Fazli.