# Bawa semangat podium ARRC ke Temerloh
Ahmad Fazli Sham menetapkan sasaran awal untuk layak ke sesi Superpole kelas CP150 pada pusingan keempat kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Temerloh pada 18 dan 19 Ogos ini.
Masih segar dengan dua kemenangan kelas Underbone 150cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di India baru-baru ini, Fazli berharap dapat meneruskan momentum tersebut di kejuaraan peringkat kebangsaan setelah memilih haluan bersama pasukan ONEXOX TKKR Racing bagi musim 2018.
Namun begitu, selepas tiga pusingan setakat ini, pelumba berusia 36 tahun itu belum menemui rentak terbaik apabila masih gagal untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 pelumba terbaik yang layak ke sesi Superpole.
“Kami masih mencari keserasian dan akan terus bekerja keras. DI Asia kami sudah mula menunjukkan peningkatan dan begitu juga di Cub Prix di mana pelumba kami juga telah menaiki podium di Jasin sebelum ini, jadi ia membuktikan yang kami juga mampu.
“Cuma kami masih belum berada pada tahap terbaik. Walaupun saya berjaya berada dalam kedudukan 10 terbaik di perlumbaan akhir, namun keputusan peringkat kelayakan agak mengecewakan.
Saya tidak mahu memberikan tekanan dengan meletakkan sasaran di podium. Saya perlu lebih realistic dan layak ke Superpole adalah matlamat utama ketika ini,” jelas Ahmad Fazli.