WIRA PODIUM

Selepas 11 tahun menunggu, Ahmad Fazrul Sham akhirnya berjaya meraih gelaran yang diidamkan selama ini apabila berjaya mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan CP130 pada Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berakhir di Jempol, Negeri Sembilan, hari ini.

Sekalipun sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keenam dengan masa 14’30.380s, jumlah 10 mata yang dipungut oleh pelumba Yamalube AHM itu menjadikan jumlah terkumpul 113 mata keseluruhan gagal dicabar oleh mana-mana pelumba sekalipun perlumbaan masih berbaki satu pusingan lagi pada penghujung November ini.

“Setelah sekian lama menunggu, akhirnya saya berjaya melakukannya pada tahun ini,” jelas Fazrul yang pernah muncul naib juara kategori Novis sebanyak dua kali pada tahun 2006 dan 2008.

Mengulas lanjut, Fazrul berkata, “Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan saya, Yamalube AHM dan penaja serta penyokong-penyokong saya selama ini. Begitu juga dengan abang saya Ahmad Fazli, jika bukan kerana dia, saya sebenarnya hampir memutuskan untuk bersara pada tahun ini.”

Bercakap tentang perlumbaan, Fazrul menjelaskan ketiadaan pencabar utama, Abdul Muhaimin Roslan dan Ahmad Fazli di barisan hadapan membolehkan dia bergelar juara tanpa perlu menunggu sehingga ke penghujung musim.

“Selepas saya mendapati Muhaimin terjatuh manakala abang saya juga tiada di kelompok hadapan, saya memilih langkah untuk hanya mengekalkan kedudukan saya di tempat keenam sekalipun pada satu ketika saya bersaing untuk merebut podium. Saya sedar jika berjaya menamatkan perlumbaan, memang gelaran juara keseluruhan berada dalam genggaman. Sekali lagi saya berterima kasih kepada seluruh pasukan dan penaja yang membantu saya pada musim ini.”

Sementara itu, duo PETRONAS Yamaha-CKJ, Mohd Fitri Ashraf Razali dan Mohd Affendi Rosli muncul juara dan naib juara CP130 setelah menamatkan 18 pusingan perlumbaan, masing-masing dengan masa 14’16.677s dan 14’22.121s.

Tempat ketiga milik Mohd Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang) yang menamatkan perlumbaan dengan masa 14’22.525s manakala Hafiz Nor Azman yang pada satu ketika mendahului perlumbaan tamat di kedudukan keempat dengan masa 14’24.482s setelah terjatuh pada selekoh kedua terakhir untuk menuju ke garisan penamat.

Gelaran juara dan naib juara meletakkan Fitri dan Affendi kini berkongsi kedudukan tempat kedua keseluruhan dengan mengumpul 84 mata.

Hadiah kepada pemenang kelas CP130 telah disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin Abu Bakar yang sempat meluangkan masa menyaksikan perlumbaan akhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS pada hari ini.

Sementara itu, dalam saingan CP115, Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS Yamaha Maju Motor) berjaya meraih kemenangan kelimanya pada musim ini sekaligus berjaya mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan CP115 musim 2015.

Pelumba itu menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa 12’03.948s untuk memungut 25 mata kejuaraan menjadikan 165 mata keseluruhan manakala pencabar utama, Tengku Amirul Haffirudin (Motul Yamaha YY Pang) yang bermula dari petak pertama gagal menyekat kemaraan Kasma Daniel setelah terjatuh seawal pusingan pertama namun berjaya bangkit meneruskan perlumbaan untuk tamat di kedudukan ke-16.

Dalam pada itu, Mohd Harith Farhan (Kozi Yam Honda Racing) yang pertama kali beraksi dalam kelas CP115 pada musim ini mencipta kejutan apabila berjaya menamatkan saingan di tempat kedua bersama-sama Mohd Muzakkir Mohamad (elf Koyoko KC Racing) yang menamatkan saingan di atas podium buat pertama kali.

Harith menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa 12’07.021s diikuti Muzakkir 12’07.188s.

Dalam senarai keseluruhan, Tengku Amirul kekal ditangga kedua dengan 111 mata diikuti Ahmad Syukran Aizat (PETRONAS Yamaha-CKJ) ketiga, 79 mata.

Perlumbaan akhir kategori Wira menjadi milik Mohd Khairul Ikhwan Ajis (Espada William Racing) dengan masa 9’44.810s diikuti Mohd Izzat Rafiq (Team PETRONAS Yamaha) kedua, 9’49.813s dan MOhd Irfan Rosnizam (Felda AFB Tech Cardinals Racing) ketiga, 9’54.833s.

Dengan ketiadaan Mohd Harith yang telah beralih ke kelas CP115, pelumba itu kekal di tangga teratas dengan 195 mata diikuti Khairul Ikhwan kedua, 115 mata dan Saiful Izman Ahmad Zamani (Felda AFB Tech Cardinals Racing) ketiga, 100 mata.

Keputusan Perlumbaan

CP130

Perlumbaan Akhir

  1. Mohd Fitri Ashraff Razali (Yamaha) 14’16.677s 2. Mohd Affendi Rosli (Yamaha) 14’22.121s 3. Mohd Adib Rosley (Yamaha) 14’22.525s 4. Mohd Hafiz Nor Azman (Honda) 14’24.482s 5. MOhd Zaqhwan Zaidi (Honda) 14’27.107s

Kedudukan Keseluruhan

  1. Ahmad Fazrul Sham (Yamaha) 113 mata 2. Mohd Fitri Ashraff Razali (Yamaha) 84 mata 3. Mohd Affendi Rosli (Yamaha) 84 mata 4. Abd Muhaimin Roslan (Yamaha) 79 mata 5. Ahmad Fazli Sham (Yamaha) 71 mata

 

CP115

Perlumbaan Akhir

  1. Kasma Daniel Kasmayudin (Yamaha) 12’03.948s 2. Mohd Harith Farhan Baharin (Honda) 12’07.021s 3. Mohd Muzakkir Mohamed (Yamaha) 12’07.188s 4. Azroy Hakeem Anuar (Honda) 12’09.500 5. Mohd Emir Firdaus Hasan (Yamaha) 12’14.764s

Kedudukan Keseluruhan

  1. Kasma Daniel kasmayudin (Yamaha) 165 mata 2. Tengku Amirul Haffirudin (Yamaha) 111 mata 3. Ahmad Syukran Aizat (Yamaha) 79 mata 4. Mohd Emir Firdaus Hasan (Yamaha) 73 mata 5. Mohd Fareez Afeez (Yamaha) 64 mata

WIRA

Perlumbaan Akhir

  1. Mohd Khairul Ikhwan Ajis (Yamaha) 9’44.810s 2. Mohd Izzat Rafiq (Yamaha) 9’49.813s 3. Mohd Irfan Rosnizam (Yamaha) 9’54.833s 4. Amirul Hakim Rizal (Yamaha) 9’58.358s 5. Saiful Azhary Muhamad (Honda) 9’59.591s

Kedudukan Keseluruhan

  1. Mohd Harith Farhan Baharin (Honda) 195 mata 2. Mohd Khairul Ikhwan Ajis (Yamaha) 115 mata 3. Saiful Izman Ahmad Zamani (Yamaha) 100 mata 4. Mohd Irfan Rosnizam (Yamaha) 100 mata 5. Amirul Hakim Rizal (Yamaha) 95 mata

 

- Advertisement -