Ahmad Fazrul Sham yakin mampu mempamerkan aksi terbaik dalam saingan kelas CP150 walaupun belum berada pada prestasi terbaik menjelang pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Temerloh, Pahang, 18 dan 19 Ogos ini.

Pelumba AHM Nanoplus Yamaha Racing itu hanya tampil dalam Kejuaraan Cub Prix musim 2018 bermula pusingan kedua di Selangor dan menamatkan saingan di kedudukan ke-14 manakala memperbaiki keputusan ke tangga kesembilan pada psuingan lepas di Jasin, Melaka.

Namun begitu, juara keseluruhan CP130 musim 2015 itu akui litar di Temerloh bukanlah litar kegemarannya sepanjang lima musim lepas memandangkan pencapaian terbaiknya hanya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh pada musim 2016.

“Rekod saya di Temerloh tidak begitu baik. Pada tahun 2013 saya menamatkan perlumbaan di tempat ke-16 manakala pada tahun 2014 di tempat ke-13. Malah saya juga kekurangan data di litar ini kerana tidak beraksi pada musim lepas dan juga pada tahun 2015,” jelas Fazrul.

“Jadi, jika mahu bercakap tentang peluang untuk menaiki podium, ia mungkin agak berat untuk saya, tambahan pula saya masih mencari keserasian dengan jentera, tetapi sudah tentu saya dan jurutera pasukan akan memberikan yang terbaik, begitu juga dengan rakan sepasukan, Mohd Rozaiman Said dan Md Iqbal Amri Abd Malek.”

 

- Advertisement -