Walaupun kelibat mereka tidak akan dapat disaksikan lagi dalam Liga Malaysia musim depan, ia tidak sesekali dijadikan alasan oleh Felcra FC untuk menutup mata dan lari daripada tanggungjawab menyelesaikan tunggakan gaji anggota pasukan mereka.

Pengurusan pasukan itu juga tidak banyak berdalih, tidak memaki hamun pemain dan tidak juga memberikan cek tendang sepertimana dilakukan oleh sebuah pasukan Liga Malaysia baru-baru ini.

Sepertimana diketahui penyokong, Felcra FC yang muncul naib juara Liga Premier dan layak beraksi di Liga Super telah mengumumkan akan menarik diri dari Liga Malaysia 2019 pada bulan lalu berikutan masalah kewangan.

Ketika itu Timbalan Presiden Datuk Hazian Murad mengakui mereka berhutang tiga bulan gaji dan berjanji akan menyelesaikan semuanya sebelum operasi pasukan ditutup – dilaporkan jumlah keseluruhan tunggakan gaji termasuk caruman KWSP dan Socso mencecah RM2 juta.

Setelah sebulan berlalu, difahamkan tunggakan tiga bulan tersebut sudah dijelaskan secara berperingkat dan ianya turut diakui oleh bekas kapten Felcra FC Shahrom Kalam yang lega pasukan itu berpegang kepada janji dan tidak membuat onar sepertimana beberapa pasukan lain.

“Syukur mereka tidak lari dari tanggungjawab dan tidak menyusahkan pemain untuk turun naik sana sini menuntut hak. Tunggakan dari September hingga November sudah selesai, tinggal sekarang ni rundingan untuk gaji bulan Disember sahaja, terima kasih kepada pengurusan Felcra FC atas sikap professional yang ditunjukkan,” ujar Shahrom.

Inisiatif diambil Felcra FC yang sedaya upaya mahu memastikan segala hak anggota pasukan dilunaskan sebelum ‘tutup buku’ diharap membuka mata pasukan-pasukan lain yang begitu liat menyelesaikan hutang untuk mengambil inisiatif sama.

Apa gunanya rancak dan ghairah mempersiapkan pasukan untuk musim baru pada ketika hutang masih bertimbun, kalaupun tidak boleh bayar sekaligus, mungkin boleh jelaskannya secara berperingkat.

Belajarlah untuk mengurangkan beban kewangan dan berbelanja mengikut kemampuan, bukannya menambahkan lagi beban kewangan dan mengundang lebih masalah. MUHD AIMAN 

- Advertisement -