By Muhammad Aiman
Tiga gol dalam tempoh sepuluh minit di pertengahan babak kedua menyaksikan Felda United mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan melonjak ke tangga teratas Liga Super setidak-tidaknya untuk tempoh 24 jam.
Anak buah Irfan Bakti mendahului carta liga dengan 15 mata, dua mata mengatasi Johor Darul Takzim yang hanya akan turun menentang Perak di Larkin malam nanti.
Beraksi di gelanggang sendiri, Terengganu terlebih dahulu memecah kebuntuan apabila rembatan voli pemain gantian, Joseph Kalang Tie gagal diselamatkan Farizal Harun pada minit ke-24.
Namun kelebihan itu bertahan hanya tiga minit apabila Christie Jeyaseelan yang pertama kali beraksi selepas tersisih lima perlawanan sebelum ini akibat kecederaan, menyamakan kedudukan buat pasukan pelawat menerusi tandukan selepas menyambut hantaran Francis Forkey Doe untuk kedudukan terikat 1-1 di babak pertama.
Kesilapan Yong Kuon Yong yang tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit-67 memberikan Felda United kelebihan 2-1 dan kelekaan barisan pertahanan Terengganu yang ditunjangi Vincent Bikana dihukum sekali lagi tiga minit kemudian menerusi Zahrahan Krangar.
Zahrahan melakukan larian solo melepasi empat pemain pertahanan sebelum melakukan rembatan yang menewaskan Sharbinee Alawi. Belum sempat Terengganu bangkit memperkemas benteng pertahanan, Forkey Doe menambah sengsara tuan rumah menerusi jaringan keempat pada minit ke-77.
Lima lagi aksi Liga Super akan berlangsung pada Selasa (5 April) membabitkan pertemuan antara Selangor menentang Kedah, T-Team menentang Kelantan, Pahang menentang PDRM, Pulau Pinang menentang Sarawak dan juga Johor Darul Takzim menentang Perak.