Oleh Muhammad Aiman
Felda United mungkin menjadi satu-satunya pasukan dalam Liga Super, untuk menyandarkan sepenuhnya harapan kepada tenaga pemain tempatan di barisan pertahanan apabila saingan liga kembali bersambung pada 16 Julai depan.
Pasukan bimbingan Irfan Bakti itu ketika ini merupakan pasukan kedua dengan rekod defensif terbaik di belakang JDT, setelah bolos 11 gol dalam 12 perlawanan liga namun ia tidak memadai untuk tonggak pertahanan dari Brazil, Gilberto Alemao terus menyarung jersi The Fighters.
Keputusan menggugurkan Alemao terpaksa dibuat berikutan Felda United kini mempunyai lima pemain import yang terikat dengan kontrak bersama mereka,termasuk Thiago Augusto Fernandes yang kembali dari kecederaan setelah tersisih sejak awal musim.
Menurut Irfan Bakti, āPihak pengurusan menilai banyak perkara sebelum membuat keputusan ini. Ianya sama ada kami perlu kuatkan pertahanan atau serangan dan kami merasakan Forkey Doe (penyerang utama) perlukan bantuan dan back-up di barisan depan. Ini antara yang mendorong kenapa Alemao terpaksa kita gugurkan.
āKita akan teruskan perjuangan dalam liga dengan kudrat pemain tempatan di bahagian belakang. Ia pastinya satu cabaran besar tetapi dalam tempoh masa yang berbaki, kita akan cuba perkuatkan dan perbaiki apa yang perlu.ā
Dengan ketiadaan Gilberto Alemao yang telah membentuk gandingan mantap bersama pemain veteran, Norfazly Alias di bahagian pertahanan Felda sepanjang musim ini, Irfan mempunyai pilihan lain seperti ketua pasukan Shukor Adan (main pix), Khairul Ismail, Hasni Zaidi Jamian dan Firdaus Faudzi.
Selain Gilberto dan Thiago, pemain import lain dalam pasukan Felda United adalah Francis Forkey Doe, Lutfulla Turaev dan Zahrahan Krangar.
Untuk rekod, Thiago adalah pilihan utama Irfan pada awal musim, namun faktor kecederaan memaksa pengendali berusia 65 tahun itu mendapatkan Forkey Doe sebagai pengganti saat akhir sebelum musim bermula dan bekas penjaring terbanyak Liga Super itu tidak mengecewakan apabila meledak 10 gol setakat ini.
Perlawanan pertama Felda sebaik saingan liga kembali bersambung adalah menentang Perak di gelanggang sendiri, Stadium Tun Razak, Jengka.