IMG-20160322-WA007

Oleh Ku Mohd Lufti

Selain Malaysia, Filipina juga rancak melakukan persiapan awal untuk mengharungi Temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Peluang beraksi dengan Malaysia yang dilabel sebagai salah satu pasukan pilihan, pengendali sementara skuad Bawah-22 tahun Filipina, Dan Padernal mengharapkan satu pengalaman baharu mampu diperolehi.

Filipina tampak maju selangkah berbanding Malaysia apabila telahpun mengadakan beberapa perlawanan persahabatan.

“Pasukan ini baru sahaja kembali dari China dan menentang pasukan bawah 19 tahun, Uzbekistan dan Croatia, kami melakukan persiapan lebih awal kali ini dan sebagai jurulatih, bermain dengan salah pasukan gergasi di rantau Asia Tenggara seperti Malaysia dan Singapura adalah baik untuk memberi pendedahan kepada pemain,” kata Padernal.

Tambah Dan Padernal hanya dua pemain senior yang pernah beraksi di Sukan SEA Singapura 2015 dibawa kali ini, manakala selebihnya masih terikat dengan jadual pengajian selain mewakili universiti masing masing di Liga Universiti, UAAP di Filipina.

Dua pemain ini diletak sebagai sandaran untuk membantu pemain pemain lain sepanjang perlawanan.

Malah, Padernal sudah menjangkakan Malaysia akan melakukan serangan bertali arus pada perlawanan malam ini kerana sudah memahami corak permainan yang akan dilakukan oleh pengendali baru skuad bawah 22 tahun Malaysia, Frank Bernhardt.

Meskipun mempunyai pengalaman selepas mengharungi perlawanan persahabatan di China dan Singapura Padernal tidak melihat ia sebagai jaminan Filipina akan pulang sebagai pemenang.

Ini kerana jika pemain pemain gagal mengawal permainan dengan baik, pihak lawan pastinya akan mengambil kesempatan dan memanfaatkan kealpaan pemain.

- Advertisement -