SEPANG – Berbekalkan pengajaran pahit daripada kekecewaan musim lepas, penunggang wanita berbakat Siti Norafizah Muhammad mengambil pendekatan berbeza dalam saingan pusingan akhir Kejohanan Kebangsaan KBS MAM Kapcai Endurance, yang bakal berlangsung esok di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Bersaing dalam pasukan dengan empat pelumba, cabaran pelumba Johor dan rakan-rakannya itu berakhir di lap terakhir dalam saingan mencabar tunggangan berterusan selama empat jam apabila jentera Yamaha tunggangan mereka kehabisan petrol sekali gus gagal menamatkan perlumbaan berkenaan.
Bersaing dalam Kelas Terbuka musim ini dan berhadapan dengan para penunggang handalan tanahair, Siti Norafizah, yang lebih mesra dengan panggilan nama Fifi, akan berlumba pada edisi ketiga kejohanan ini secara berpasangan dengan Muhammad Muzakkir Mohamed dan tidak lagi dengan empat pelumba seperti tahun lepas.
“Saya amat gembira dengan strategi sebegini – satu pasukan dengan hanya dua pelumba. Memang mencabar dari segi kecergasan tetapi lebih senang dalam banyak perkara lain. Tahun lepas, pasukan saya sudah begitu hampir dengan kemenangan. Tetapi, terpaksa berhenti daripada perlumbaan pada lap terakhir kerana motor habis minyak. Memang amat menyedihkan.
“Kalau tanya saya, kita sudah membuat perkiraan yang betul. Sepatutnya, minyak memang cukup untuk habiskan perlumbaan. Tetapi, kerana menggunakan empat pelumba, kami lebih kerap membuat hentian di pit untuk tukar pelumba. Mungkin juga, kerana menggunakan empat pelumba, kami menggunakan garisan perlumbaan yang berbeza dan menyebabkan kami menggunakan lebih banyak minyak.
“Kita semua sedia maklum bahawa Litar Sepang adalah amat lebar dan mempunyai beberapa garisan perlumbaan. Setiap pelumba akan mempunyai garisan perlumbaan yang berbeza kerana gaya tunggangan dan tahap kecekapan yang berbeza. Kerana itu, saya gembira untuk bersaing dengan dua pelumba sahaja. Saya benar-benar menaruh harapan untuk catat kemenangan berganda hujung minggu ini,” kata Fifi, yang akan turut bersaing dalam kejohanan Malaysian Super Series (MSS) hujung minggu ini dalam kelas Terbuka 250cc.
Berhadapan dengan dua perlumbaan terakhir dalam kategori ini, Fifi, yang mewakili pasukan BikeArt Racing Kawasaki, kini menduduki tempat kedua keseluruhan dengan mengutip 169 mata dan enam mata ketinggalan kepada Muhammad Jazil Juraimi, yang mempunyai 175 mata.
Tempat ketiga diduduki oleh rakan sepasukan BikeArt Racing Kawasaki, Muhammad Fazli, yang mengumpul 122 mata dan sudah terkeluar daripada saingan kejuaraan keseluruhan. Sejumlah 50 mata kejuaraan menjadi pertaruhan minggu ini dalam dua perlumbaan yang akan diadakan.
Pada berusia 18 tahun, Fifi sememangnya tidak asing dengan kejayaan di Litar Sepang dan telah mencatat sejarah sebagai penunggang wanita pertama memenangi perlumbaan MSS dua tahun lepas apabila memenangi perlumbaan SIC Ninja 250 Cup pada tanggal bersejarah 15 September 2012.
Kejayaan Fifi pada hari itu meletakkan namanya sebarisan dengan pemandu Super GT, Cyndie Allerman dari Switzerland, yang menjadi pelumba wanita pertama untuk memenangi perlumbaan MSS. Beliau berpasangan dengan Samson Chan dari Hong Kong untuk memenangi perlumbaan kelas Super GT pada bulan Mei 2012 dengan memandu jentera Ginetta G50Z.
Selain kelas Terbuka 250, saingan Pusingan 6 MSS hujung minggu ini akan turut memperagakan aksi-aksi pertarungan hebat dalam kelas Superbike, Superstock, Supersport, SIC Ninja 250 Cup dan kelas MGP-3, yang menggunakan jentera-jentera prototype Moto3.
Untuk saingan edisi ketiga Kejohanan Kebangsaan KBS MAM Kapcai Endurance, 110 pasukan akan bersaing dalam sesi kelayakan pada hari ini bagi menentukan grid perlumbaan esok, yang akan berlangsung pada 2 petang dengan dilepaskan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin.