Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membuat persiapan awal untuk menghadapi Liga Malaysia 2018 dengan mengumumkan kemasukan semula bekas pemain antarabangsa Argentina, Luciano Figueroa ke dalam pasukan utamanya.
Pengarah Sukan JDT, Martin Prest berkata keputusan, Figueroa, 36 untuk keluar daripada persaraan selepas menggantung butnya pada penghujung 2015, sudah pasti menjadi perangsang utama kepada skuad Harimau Selatan untuk memburu lebih banyak kejayaan, musim hadapan.
“Beliau merupakan legenda kami di sini dan juga duta kelab kami. Adalah menjadi satu penghormatan untuk beliau berada bersama kami. Pengalaman dan kerja keras beliau akan menjadi contoh kepada semua pemain kami.”
Beliau bekerja keras untuk kecergasannya beberapa bulan lepas bersama kami, dan terus bekerja keras di Argentina, kata Prest di dalam catatan terkini di halaman rasmi Facebook JDT.
Luciano atau lebih mesra dengan panggilan ‘Lucho’ dalam kalangan rakan sepasukannya, memenangi beberapa kejuaraan bersama JDT termasuk Juara Liga Super 2014 dan 2015 selain Piala Sumbangsih serta Piala AFC pada 2015.
Selepas persaraan beliau penghujung 2015, pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersetuju untuk melantik Luciano sebagai duta kelab sebelum dinaikkan ke jawatan Pengarah Sukan JDT, pada awal musim ini sebelum diambil alih oleh Prest.
Pada masa yang sama, Prest berkata kelab itu amat gembira kerana memiliki satu set pemain yang berkualiti dan berpengalaman seperti pemain dari Brazil Marcos Antonio, pemain antarabangsa Singapura Hariss Harun, dua pemain kebangsaan, Aidil Zaquan Abd Radzak dan Safiq Rahim, selain pemain seperti Natxo Insa yang boleh memimpin dan membimbing pemain muda kelab itu menjadi pemain utama bola sepak di masa hadapan.
“Kami seperti bagaimana mereka melakukannya (beberapa kelab Eropah), seperti Juventus, Bayern Munich dan PSG. Satu gandingan pemain senior berpengalaman dan pemain muda berbakat, 2018 akan menjadi lebih menarik,” kata Prest.
Semalam, Prest mengumumkan kelab itu sudah mendapatkan dua pemain muda skuad kebangsaan bawah 22 tahun – Adam Nor Azlin dari Selangor dan Mohamed Syamer Kutty Abba dari Pulau Pinang, untuk bersama JDT.-BERNAMA