Kelantan menerima suntikan awal untuk menghadapi perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja edisi ke-77 menentang Pulau Pinang pada 11 November depan setelah Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu dipilih sebagai gelanggang tuan rumah.

Perkara itu diputuskan oleh Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM) menerusi mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Presidennya, Mohd Firdaus Mohamed pada Selasa.

Firdaus berkata stadium berkapasiti 25,000 penyokong itu menjadi pilihan kerana diyakini dapat menarik lebih ramai penonton untuk hadir menyaksikan perlawanan  selari dengan matlamat PBSMM yang mahu menjaga kemeriahan pertandingan itu.

Tiket untuk menyaksikan perlawanan ulangan final 2008 itu ditetapkan pada harga RM5 dan RM10.

Kelantan mara ke final dengan mempertahankan kelebihan agregat 2-0 ke atas Kuala Lumpur setelah aksi separuh akhir kedua di Kota Bharu berkesudahan seri tanpa jaringan manakala Pulau Pinang pula menyingkirkan Selangor dengan agregat 1-0.

Ini adalah kali kedua Kelantan dan Pulau Pinang dipertemukan dalam saingan musim ini setelah turut berentap  dalam aksi Kumpulan D di Stadium Mini USM pada 20 September lalu yang menyaksikan Kelantan menang 2-0.    

Untuk rekod, ketika kedua-dua pasukan bertemu di perlawanan akhir pada 2008, juga di Kota Bharu, tuan rumah yang dibimbing Anizan Daud menang 4-0 menerusi dua jaringan Abdul Latiff Jusof dan satu gol masing-masing oleh Badhri Radzi dan Khairul Zal Azmi.

Kelantan yang kali terakhir bergelar juara pada 2010 memburu kejuaraan buat kali ke-16 manakala Pulau Pinang pula memburu kejuaraan kelapan setelah memenanginya kali terakhir pada 1998 iaitu 19 tahun lalu.OLEH MUHD AIMAN 

 

 

 

 

- Advertisement -