Pemain pertahanan kiri berpengalaman, Mohd Fitri Omar, yang akan beraksi dengan Kelantan United mengakui musim ini menjanjikan cabaran cukup berbeza buat dirinya kerana dia diberikan tanggungjawab oleh pengurusan bagi membimbing pemain-pemain muda.
Sudah menginjak 36 tahun pada musim ini selain telah bermain selama 17 musim di Liga Malaysia, tidak hairanlah pengalaman Fitri dan seorang lagi pemain, Mohd Badhri Mohd Radzi menjadi taruhan selepas kehadiran ramai pemain muda dalam Kelantan United.
Jelas Fitri, dia menerima tugasan tambahan itu kerana menyedari rata-rata pemain tempatan dalam pasukan itu masih kurang pengalaman beraksi di pentas tertinggi dan sedia mencurahkan nasihat serta pembimbing kepada pemain muda.
“ Memang salah satu faktor saya ke Kelantan United adalah pengurusan melihat akan pengalaman yang ada pada saya untuk membantu bakat-bakat muda yang ada dalam pasukan.
“ Seminggu saya berkesempatan menjalani latihan dengan pasukan, apa yang saya boleh katakan memang agak luar biasa semangat pemain-pemain dan mereka cukup bekerja keras, satu situasi yang saya tidak pernah nampak sepanjang saya bermain.
“ Cuma apabila beraksi dalam perlawanan sebenar, bagaimana mereka boleh gunakan sepanjang 90 minit perlawanan serta paling penting, sepanjang satu musim iaitu 22 perlawanan liga selain pertandingan Piala Malaysia dan Piala FA?
“ Perkara ini yang saya sentiasa beri peringatan kepada pemain-pemain muda, kerana berdasarkan pengalaman saya selama ini, pemain-pemain muda sering ada kekurangan pada aspek mental dan kurang keyakinan diri tambahan apabila berdepan pasukan-pasukan pilihan.
“ Jadi, saya mahu bantu dalam aspek ini agar boleh melihat bakat mereka seiring dengan apa yang mereka boleh terjemahkan di atas padang pada hari perlawanan, ” katanya.
Kelantan United akan menjadi pasukan ke-11 yang akan diwakili Fitri selepas mewakili PJ City pada musim lalu selain pernah bersama beberapa pasukan seperti Kedah, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Angkatan Tentera Malaysia(ATM).
Dalam masa sama, Fitri meletakkan Sarawak United dan Negeri Sembilan antara dua pasukan pilihan untuk muncul merebut kejuaraan Liga Premier serta dua slot teratas ke Liga Super 2022.
Namun begitu, Fitri akui itu semuanya adalah sekadar ramalan di atas kertas kerana berdasarkan senarai pemain berkualiti yang berjaya diserap masuk oleh kedua-dua pasukan.
“ Saya memang memilih kedua-dua pasukan ini sebagai pencabar utama kami di Liga Premier serta pilihan muncul juara tetapi apa-apa boleh terjadi kerana bagi saya biasanya, kualiti pemain import sering kali menjadi perbezaan bagi tiap pasukan.
“ Tekanan pasti akan memihak kepada kedua-dua pasukan ini dan Kelantan United lebih selesa dianggap sebagai underdog kerana itu lebih baik kerana tiada tekanan, “ katanya.
Fitri juga mengharapkan pertandingan Liga Malaysia dapat berjalan seperti dirancang atau sekurang-kurangnya semua pertandingan dapat berlangsung ekoran arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan di kebanyakan tempat termasuk Kelantan.
“ Harapan saya tiada lagi PKP kali ketiga sebaik PKP yang sedang kita lalui ini berakhir dan semoga akan ada sinar buat Liga Malaysia dapat dilangsungkan kembali dalam masa terdekat.
“ Saya dan pemain lain tidak rela Liga Malaysia tertangguh lagi untuk jangka masa yang lama kerana banyak perkara boleh terjejas,diharapkan pihak Malaysian Football League (MFL) mampu mencari formula terbaik dengan pihak kerajaan, ” katanya.