Oleh Muhammad Aiman
Omongan mahu menarik diri dari Liga Malaysia yang dicipta Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) terbukti tidak lebih dari sandiwara semata-mata.
Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam ketika dihubungi Sports247 bagi mengesahkan status penyertaan Kelantan berkata pasukan itu sudahpun melakukan apa yang sepatutnya untuk membolehkan mereka mengambil bahagian dalam Liga-M musim depan, justeru tidak timbul perihal mereka mahu menarik diri.
Menurut Kevin, 6 Januari bukan tarikh untuk mengesahkan penyertaan, sebaliknya ia adalah untuk pendaftaran minimum seramai 20 orang pemain dan pegawai pasukan.
“Kelantan sudah sahkan penyertaan sepertimana tarikh akhir kita tetapkan 30 November, mereka sudah sahkan venue untuk beraksi dan mereka juga sudah daftarkan pemain minimum sepertimana mengikut tarikh yang kita tetapkan.
“Jadi melihat kepada persiapan dan perkembangan ini, saya tidak rasa mereka mahu menarik diri. Sekali lagi, 6 Januari hanya untuk daftar pemain, bukan untuk sahkan penyertaan. Saya tidak lihat ada tanda-tanda mereka akan tarik diri kerana pemain juga sudah didaftarkan.”
KAFA sehingga ke saat ini, menerusi sidang media terbaru pada Khamis (5 Januari) masih bermain wayang dan kekal dengan pendirian kononnya mahu menarik diri dari Liga Malaysia atas alasan tidak mendapat bantuan dari mana-mana pihak khususnya kerajaan negeri.
Ini juga menyaksikan bekas presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa cuba ‘bekerja keras’ mengikhtiarkan dana bagi mengelakkan tragedi tarik diri itu berlaku tatkala barisan exco pula dilihat hanya pandai membuat sidang media meraih simpati, atau mungkin juga mereka ‘diarah’ berbuat demikian.
Sebelum ini, KAFA dilapor memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta bagi membentuk sebuah pasukan berdaya saing untuk mengharungi musim 2017.
Namun kemelut kewangan serius di mana kantung mereka hanya mempunyai RM800,000 sepertimana didedahkan Setiausaha Agung, Datuk Ismail Md Noor, selain ketiadaan penaja memaksa mereka berulang kali menyatakan hasrat mahu menarik diri.
Selain kerajaan negeri, situasi itu turut berjaya menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta Annuar agar cuba membantu KAFA, manakala beberapa buah syarikat antaranya Superbest Power, RedOne Malaysia dan OAR Teguh menyatakan minat mahu menjadi penaja.
Sumber Sports247 turut memberitahu jelajah pramusim Kelantan juga sudah diatur di mana mereka dijangka terbang ke Kuala Lumpur dari 8 – 14 Januari depan. Justeru, ini memberi bayangan bahawa penyokong-penyokong Kelantan tertipu dengan drama dicipta KAFA.
Kelantan dijadual membuka tirai aksi Liga Super, menentang Melaka pada 21 Januari depan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.