Oleh Ku Mohd Lufti
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengharapkan aspek latihan buat atlet negara lebih menekankan kekuatan mental untuk memastikan kejayaan seterusnya.
Program pembangunan yang dilakukan tampak telah berjaya dalam meningkatkan prestasi fizikal para atlet dan ia telah dibuktikan apabila kontinjen Malaysia menamatkan perjuangan Sukan Olimpik Rio dengan 4 pingat perak dan 1 pingat gangsa berjaya diraih.
“Saya percaya bahawa latihan sukan negara perlu fokus kepada daya kekuatan mental pula dimana kita memupuk aspirasi untuk lebih berjaya di peringkat teratas di dalam diri para atlet Malaysia,” kata Najib.
Jelas Najib menerusi ucapan yang dimuatnaik dalam blog rasminya, NajibRazak.com.
Malah, Najib berbangga dengan pencapaian di Olimpik Rio apabila lima pingat berjaya diraih berbanding penyertaan di edisi edisi Olimpik sebelum ini.
Atlet atlet negara yang beraksi khususnya sehingga peringkat final nyata menyatukan kesemua rakyat Malaysia tidak kira pangkat mahupun fahaman politik.
Justeru Datuk Sri Najib berharap setiap rakyat Malaysia memainkan peranan yang penting dalam memberi sokongan moral kerana ia merupakan suntikan semangat buat para atlet yang sedang berjuang.
“Setiap rakyat Malaysia memainkan peranan yang penting dalam memberikan sokongan moral kepada mereka kerana suntikan semangat itulah yang memberi kekuatan untuk negara kita, meraih prestasi yang lebih tinggi terutama sekali pada tahun hadapan dimana Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Sukan SEA dan seterusnya masa Olimpik Tokyo 2020,” katanya lagi.
Kali pertama Malaysia menyertai Sukan Olimpik adalah pada 1956.