asc-2016

Oleh Muhammad Aiman

Biar apa orang kata, ia tidak sedikitpun melunturkan keyakinan Dato’ Ong Kim Swee terhadap skuad Harimau Malaysia bimbingannya untuk menyerlah di Piala AFF Suzuki 2016.

Skuad negara dijangka berdepan cabaran getir seawal aksi pembuka tirai pada 20 November menentang Kemboja – walaupun dianggap lawan paling lemah, namun pasukan itu berada di prestasi meyakinkan setelah menang kesemua empat perlawanan terakhir termasuk tiga di pusingan kelayakan.

Malaysia pula sebaliknya, mengharungi prestasi tidak menentu dan hanya menang sekali dalam lima perlawanan terakhir iaitu ketika kemenangan terbaru 2-1 menewaskan Papua New Guinea pada Isnin lalu justeru tidak hairanlah apabila ramai yang awal-awal lagi sudah putus harapan terhadap peluang untuk melangkah jauh.

Bagi Kim Swee, sasaran separuh akhir masih dalam jangkauan malah dengan peningkatan ditunjukkan dari perlawanan demi perlawanan, tidak mustahil pencapaian mara ke final 2014 dapat diulangi namun dia belum mahu memperkatakan mengenainya.  

“Ramai yang bertanya kenapa sasaran separuh akhir bukannya final. Tidak guna bercakap pasal perlawanan akhir jika separuh akhir pun belum layak. Jadi biarkan kami fokus perlawanan peringkat kumpulan dahulu, apabila sudah sampai separuh akhir baru fikir final.

“Apabila sudah layak ke final pemain tentu mahu menang, apabila mahu menang sudah tentu mereka berikan sehabis baik di atas padang. Jadi biarkan kami fokus dari satu ke satu perlawanan. Tiga mata menentang Kemboja adalah lebih penting buat masa ini,” kata Kim Swee.

Selepas perlawanan menentang Kemboja, skuad negara akan berdepan pula Vietnam pada 23 November dan menutup tirai aksi peringkat kumpulan dengan menentang tuan rumah, Myanmar pada 26 November.

Sementara itu, bagi pemain paling senior, Amri Yahyah yang akan mengalas tanggungjawab selaku kapten pasukan, dia melihat peluang skuad negara melakar kejutan di Myanmar tetap ada tetapi tidak mahu ianya menjadi satu tekanan  buat pemain.

“Memang tekanan itu ada, tetapi ia perlu dijadikan sebagai satu cabaran. Saya lihat kerjasama sepasukan, komunikasi antara pemain serta persefahaman bertambah baik antara kami semua. Kami sedang bekerja keras untuk berikan yang terbaik dan kami tidak mahu mengecewakan harapan peminat semua,” kata pemain JDT itu.

Selain Amri, antara pemain senior lain disenaraikan Kim Swee untuk membantu cabaran negara dalam edisi kali ini adalah Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Zaquan Adha Abdul Radzak, Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi Che Mat.

- Advertisement -