Oleh Muhammad Aiman
Atlet renang kebangsaan, Wong Fu Kang mencuri tumpuan di Pusat Akuatik Sarawak di Petra Jaya apabila meleburkan rekod Sukan Malaysia (SUKMA) berusia 20 tahun milik Elvin Chia, dalam laluan mempertahankan pingat emas acara 100m kuak dada, pada Sabtu.Â
Perenang Johor itu melakukan catatan terbaik peribadinya bagi tahun ini 1:03.05s untuk mengatasi rekod 1:04.46s milik Elvin, pemenang pingat gangsa Sukan Asia yang direkodkan ketika temasya SUKMA Pahang 1996.
Meskipun catatan itu belum dapat mengatasi rekod kebangsaan miliknya sendiri 1:02.47s yang dilakukannya ketika meraih pingat emas di Sukan SEA Singapura tahun lalu, ia tetap pencapaian mengagumkan buat atlet berpangkalan di Phuket itu yang tidak begitu menyerlah tahun ini malah turut gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik.
“Ianya cukup melegakan, sudah begitu lama saya tidak berenang sepantas ini. Saya sendiri tidak dapat menjelaskan mengenai kemerosotan prestasi saya, mungkin disebabkan pelajaran, saya tidak pasti tetapi kemenangan ini mengembalikan semula keyakinan saya,” ujar Fu Kang yang turut memadam rekod kebangsaan berusia 15 tahun bagi acara sama milik Elvin di Terbuka Malaysia Mac tahun lalu.
Tambah Fu Kang, “Ia sudah tentunya sesuatu yang hebat untuk memecahkan rekod Elvin, dan saya harap dapat pecahkan satu lagi rekod miliknya dalam acara 200m (pada Khamis). Jika saya dapat berenang pada catatan terbaik saya 2.18s, saya yakin saya berpeluang untuk perbaharui rekod yang bertahan 20 tahun itu (2:19.17s).
Sementara itu, renang yang membuka tirai pada Sabtu turut menyaksikan tiga lagi rekod kejohanan diperbaharui.
Atlet Wilayah Persekutuan, Christina Loh meraih emas 100m kuak dada wanita dengan catatan 1:12.32s, memperbaharui rekod miliknya sendiri 1.:12.41s yang dilakar ketika di Pahang 2012.
Tern Jian Han dari Johor pula melakukan catatan 26.57s untuk mengatasi rekod berusia empat tahun milik Ian James Barr (26.86s) dalam laluan meraih emas 50m kuak lentang lelaki manakala atlet Selangor Caroline Chan memperbaharui rekod 30.34s miliknya sendiri untuk menang emas 50m kuak lentang wanita dengan catatan 30.18s.
Selangor merangkul empat daripada lapan emas yang ditawarkan pada hari pertama, di mana selain Caroline, turut menyumbang emas adalah Yap Zheng Yean (200m gaya bebas lelaki), Rosalind Phang (200m gaya bebas wanita), dan Nadia Adreanna Redza (400m rampaian perseorangan).