Pengurus PETRONAS Sprinta Yamaha – Afb Tech, Ahmad Fuad Baharudin tidak mahu pelumbanya berasa selesa meskipun mempamer aksi cemerlang dan berjaya menaiki podium sepanjang dua pusingan awal Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2017.
Menuju ke pusingan ketiga yang akan berlangsung di Kemaman, Terengganu pada 5 dan 6 Mei ini, tiga pelumba pasukan, Md Aiman Tahirudin, Md Danial Syahmi dan Md Khairi Asyraf Mahmud masing-masing berjaya menaiki podium dan menghuni kelompok empat pelumba teratas dalam senarai keseluruhan dalam kategori Wira.
Selepas dua pusingan, Md Aiman yang muncul pemenang tempat ketiga sewaktu pusingan pembukaan di Temerloh, Pahang dan muncul juara di Tangkak, Johor, Mac lepas kini mendahului senarai keseluruhan dengan 41 mata manakala Danial yang meraih satu gelaran naib juara mengumpul 31 mata berada di tangga ketiga dan Khairi di kedudukan keempat dengan 28 mata. Kedudukan kedua milik Saiful Azhari Muhamad (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) dengan 33 mata.
Bagi juara tiga kali kelas perdana Kejuaraan Cub Prix itu, dia belum boleh menarik nafas lega dengan keputusan tersebut sebaliknya terus fokus kepada tugas utamanya ketika ini untuk menggilap potensi dan kemahiran pelumba-pelumba muda pasukan berbanding memikirkan tentang sebarang gelaran.
“Saya memang sukakan tugas untuk melatih pelumba-pelumba muda ini kerana mereka ini ‘masih segar’ dan senang menerima tunjuk ajar. Walaupun berjaya memenangi perlumbaan atau menaiki podium, masih banyak perkara yang mereka perlu pelajari. Saya lebih mengutamakan peningkatan prestasi mereka secara berperingkat,” jelas pelumba berpengalaman negara itu.
Tambahnya, “Untuk menjadi juara bukan hanya kelajuan yang diperlukan, dan ia bukan tugas ‘sehari’, sebaliknya mereka perlu memiliki pakej seperti stamina, strategi, komunikasi dan lain-lain. Mereka berlumba ikut kemampuan dan jika gagal, mereka perlu mengkaji setiap kelemahan yang perlu diperbaiki untuk menghadapi perlumbaan akan datang.”