Saingan Kejohanan AFF Futsal 2022 menyaksikan Malaysia meraih tiga mata penting dalam aksi pembukaan kumpulan A.

Namun skuad kendalian Chiew Chun Yong dipaksa bekerja keras sebelum menang 7-6 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, Thailand.

Malaysia didepan seawal minit pertama hasil jaringan sendiri Ros Sichamroeun namun Kemboja bangkit menyamakan kedudukan lima minit kemudian menerusi Orkchan Sereyvong

Kapten skuad negara, Khairul Effendy Bahrin kembali meletakkan Malaysia didepan di minit ke 9 namun Sichamroeun menebus kembali kesilapannya apabila menjaringkan gol kedua di minit 17 sebelum giliran Diamant Prum menjadikan kedudukan 3-2 buat Kemboja seminit berselang.

Saiful Nizam Mohd Ali meredakan seketika tekanan di kem Malaysia menerusi gol penyamaan sebelum tamat separuh masa pertama.

Drama kejar mengejar mata berterusan di babak kedua. Abu Haniffa Hasan kembali meletakkan Malaysia didepan 4-3 di minit 23 sebelum Orkchan Sereyvong sekali lagi menyamakan kedudukan dua minit berselang.

Sichamroeun sekali lagi ‘cemerlang’ membantu Malaysia menambah koleksi gol ke 5 di minit 29 sebelum Abu Hanifa melebarkan jurang kepada 6-4 di minit 32 sebelum Khairul Effendy meledak gol perbiadi kedua yang juga gol ketujuh untuk Malaysia.

Kemboja bangkit merapatkan jurang menerusi Chanmony (minit 33) dan Sothydaroth (minit 40), namun ia belum cukup untuk Kemboja pulang dengan sekurang kurangnya satu mata apabila kedudukan 7-6 memihak Malaysia kekal hingga tamat perlawanan.

Dalam satu lagi aksi kumpulan A, tuan rumah Thailand nyata tidak berdepan masalah untuk menundukkan Brunei Darussalam 13-0 sekaligus menerajui carta kumpulan.

Malaysia akan turun berdepan Indonesia pada 4 April nanti.

 

 

 

 

- Advertisement -