Gaban bersama isteri dan anak-anaknya ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu lalu.
Gaban bersama isteri dan anak-anaknya ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu lalu.

FIM Supersport World Championship logoSuasana perayaan Hari Raya masih tetap dirasai walaupun saingan Pusingan 2 Pirelli Malaysia Superbike Championship (MSC) sempena Kejohanan eni FIM Superbike World Championship di Sepang International Circuit (SIC) akan berlangsung pada minggu depan dan salah seorang pelumba motosikal negara Muhammad Al Amirul Ashshahid Abdul Hamid berharap akan meraih tuah Aidil Fitri untuk mengecapi kejayaan pada pertarungan berkenaan.

Lebih terkenal dengan nama Gaban, bekas juara tiga kali motocross kebangsaan ini berazam untuk menebus kekecewaan daripada saingan pembukaan musim pada Mei lepas, yang menyaksikan pelumba dari Sungai Buaya, Selangor itu gagal melunaskan sasaran untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan podium dalam kedua-dua perlumbaan dalam kelas Superstock 1000cc.

“Bagi saya, saingan Pusingan 1 agak mengecewakan. Walaupun bersaing dalam kelas perdana Kejuaraan Superstock buat pertama kali musim ini, saya meletakkan sasaran untuk podium dan mencabar kejuaraan keseluruhan pada akhir musim. Selepas menduduki tempat keenam dalam perlumbaan pertama, saya mendapat tempat keempat pada Perlumbaan 2.

“Kerana itu, saya benar-benar berharap untuk meraih kejayaan pada saingan Pusingan 2 ini. Walaupun berat badan ada bertambah sedikit kerana pelbagai juadah kuih raya dan rumah terbuka, saya harap sambutan Aidil Fitri kali ini akan memberi tuah kepada saya,” kata Gaban, yang menunggang jentera Honda CBR1000.

2015 Pirelli Malaysia Superbike Championship - Muhammad Al Amirul Ashshahid Abdul Hamid-002

Selepas pertarungan sengit pada Pusingan 1, acara MSC bakal menyediakan saingan Pusingan 2 daripada 31 Julai hingga 2 Ogos ini sebagai salah satu daripada perlumbaan sokongan untuk edisi kedua Kejohanan eni FIM Superbike World Championship 2015. Selain MSC, penonton juga akan berpeluang menonton pelumba-pelumba muda Negara dalam saingan siri kejuaraan Shell Advance Asia Talent Cup.

Perlumbaan Kejuaraan Superstock itu telah diungguli oleh penunggang Britain, Steve Martin, yang memenangi kedua-dua perlumbaan bersama bekas juara Ahmad Nashrul Baharuddin yang muncul naib juara dan Naharuddin Mat Yusop di tempat ketiga dalam kedua-dua saingan.

Seperti Gaban, bekas juara kategori Superbike Muhammad Syahnas Syahidan, yang terlepas saingan pembuka musim pada Mei lepas, turut mengharapkan tuah Aidil Fitri pada saingan Pusingan 2 nanti.

“Tentunya, misi mencapai kejuaraan adalah sukar apabila terlepas saingan Pusingan 1. Masa tu, saya tidak dapat beraksi kerana jentera motosikal saya belum siap sepenuhnya. Oleh yang demikian, saya amat teruja untuk bersaing dalam Pusingan 2 ini, yang akan diadakan dalam bulan Syawal ini. Saya berharap bulan Syawal akan memberi bahagia kepada saya,” kata Syahnas, yang akan menunggang jentera BMW SR1000.

Saingan Pusingan 1 kejuaraan kategori Superbike telah diungguli oleh bekas pelumba wildcard Moto2 negara, Muhammad Zamri Baba, yang kini sedang dirawat di Kuala Lumpur, selepas ditimpa kemalangan pada perlumbaan Asia Road Racing Championship (ARRC) di Litar Sentul bulan lalu.

Zamri mendapat tempat kedua pada perlumbaan kedua di belakang, Rajini Krishan untuk mengutip mata secara keseluruhan 45 mata. Menduduki tempat ketiga pada Perlumbaan 1, Rajini kini menduduki tempat kedua dengan kutipan keseluruhan 41 mata. Shahrulnizam Ramli menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan kutipan 26 mata.

“Mengambil berkat bulan Syawal ini, saya juga mengajak rakan-rakan pelumba semua untuk bersama-sama mendoakan sahabat saya, Zamri untuk segera sembuh. Semoga seluruh keluarga beliau tabah menghadapi ujian Allah ini,” tambah Syahnas.

Dijenamakan semula daripada siri Malaysian Super Series (MSS), kejuaraan MSC musim ini akan berlangsung dalam lima pusingan dengan Pusingan 3 dan 4 yang akan diadakan pada 12 dan 13 September. Pusingan 5 akan diadakan pada 20 hingga 22 Disember bersama-sama dengan saingan Pusingan Akhir Kejuaraan Kapcai Endurance Kebangsaan KBS-MAM tahun ini.

Tiket-tiket untuk acara eni FIM Superbike World Championship pusingan di Malaysia kini boleh didapati dari RM 84.80 untuk menonton kesemua perlumbaan menarik yang akan berlangsung pada minggu depan. Para peminat juga boleh membeli secara on-line di laman web www.sepangcircuit.com atau menelefon TALIAN TIKET 603-87782222.

- Advertisement -