Gavin. Gambar ikhsan Global One

Oleh Ku Mohd Lufti

Pemain golf professional negara yang berpengkalan di Amerika Syarikat, Gavin Kyle Green muncul pemain terbaik negara selepas tamat hari kedua kejohanan golf Jelajah Eropah Kejuaraan Maybank 2017.

Beliau menamatkan pusingan kedua dengan catatan 71 pukulan satu dibawah par, sedikit hambar berbanding hari pembukaan.

Bermula dari lubang pertama, Gavin tenang sepanjang Sembilan lubang pertama apabila membenam dua birdie di lubang ke 3 dan 8 untuk catatan terkumpul enam dibawah par pada satu ketika.

Namun cuaca dan tiupan angin sekali lagi menjadi penghalang buat Gavin apabila membenam tiga bogey di lubang ke 11, 14 dan 15.

Beliau berjaya bangkit menerusi birdie dilubang ke 18 dan lubang terakhir untuk menutup hari kedua dengan catatan satu dibawah par.

Selepas tamat 36 lubang , Gavin Kyle Green mengumpul 139 pukulan lima dibawah par untuk berada di tangga ke 27.

“Saya masih belum menyesuaikan diri dengan putting dan kelajuan green tetapi secara keseluruhan agak bergelut sepanjang dua hari ini tetapi cuba bertahan dan menamatkan saingan dikedudukan terbaik.

“Untuk hujung minggu ini, saya akan kekalkan rentak dan mungkin akan bermain dengan lebih aggresif khususnya di lubang par 5 dan fairway  untuk cuba mencatat birdie.” Kata Gavin.

Gavin mengetuai cabaran enam pemain Malaysia yang berjaya melepasi cut selepas tamat pusingan kedua hari ini iaitu Daeng Abdul Rahman (140 pukulan 4 dibawah par), Danny Chia (141 pukulan 3 dibawah), Ben Leong (141 pukulan 3 dibawah par), Arie Irawan (142 pukulan 2 dibawah par) dan Nicholas Fung (142 pukulan 2 di bawah par).

“Agak kecewa dengan permainan hari ini kerana saya bermain dengan baik di Sembilan lubang pertama dan berjaya mengumpul lima dibawah par.

“Pukulan saya hambar selepas itu dan bola terkena di pokok kelapa sawit dilubang ke 14 disusuli bogey dilubang ke 15 dan saya menjangkakan akan terlepas cut.

“Tetapi saya berjaya melakar birdie dilubang ke 16 sekaligus menyelamatkan keadaan dan dapat beraksi sehingga hujung minggu ini.”Kata Fung.

Tambahnya lagi, tekanan sudahpun hilang dan Fung hanya akan bermain mengikut perancangan, malah kedudukan atau keputusan bukan lagi keutamaannya esok.

- Advertisement -