Muhammad Rafiq Ismail
Rafiq

Oleh Muhammad Aiman

Dua atlet boling negara, Sin Li Jane dan Muhammad Rafiq Ismail memastikan Malaysia mengungguli Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Malaysia yang berlangsung di Mega Lanes Sunway setelah masing-masing menjuarai Terbuka Masters kategori lelaki dan wanita.

Li Jane, atlet kelahiran Perak menewaskan rakan senegara Nora Lyana Nastasia Norkamal dengan kelebihan hanya satu pin apabila melakukan 202 berbalas 201 jatuhan pin pada aksi final step-ladder kategori wanita.

Kemenangan menyaksikan atlet berusia 24 tahun itu muncul juara buat pertama kali – merampas kejuaraan dari Syaidatul Afifah Badrul Hamidi – dan membawa pulang trofi beserta hadiah wang tunai berjumlah RM15,000.

“Saya cukup gembira walaupun menang dengan kelebihan hanya satu pin. Ianya cukup mendebarkan, ternyata prestasi Nora semakin meningkat naik. Dia memberikan saingan yang sengit, memberi tekanan yang hebat kepada saya. Ditambah pula dengan ‘lane’ yang agak berminyak menjadikan ia perlawanan yang cukup menarik,” ujar Li Jane.

Sementara itu bagi saingan final step-ladder kategori lelaki, Muhammad Rafiq turut mencatat kemenangan tipis 204 berbalas 202 jatuhan pin ke atas pemain Indonesia, Yeri Ramadona sekaligus membolehkannya pulang dengan RM40,000.

Pemenang emas Sukan Sea 2015 itu berkata, “Saya sebenarnya terkejut dengan kemenangan ini. Sebelum Terbuka Malaysia ini bermula, saya sudah lebih sebulan tidak mengikuti latihan. Ini adalah pencapaian terbaik saya sepanjang mengambil bahagian di kejohanan ini.

“Ramadona telah memberikan satu saingan yang cukup hebat hingga ke balingan terakhir dan ia satu pengalaman yang bagus untuk saya. Ia mengajar saya untuk sentiasa fokus dan tidak melakukan kesilapan serta berkerja keras untuk pertahankan kelebihan.”

- Advertisement -