Exco Persatuan Bolasepak Selangor, Datuk Ariffin Abd Hamid menjelaskan bahawa 52 ahli gabungan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang dianggap sebagai ‘pengkhianat’ kerana mengadakan Kongres Luar Biasa (EGM) untuk melantik Jawatankuasa Eksekutif baru pada Khamis lalu bukan mahu merampas kuasa sepertimana tanggapan Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurutnya mereka juga tiada sebarang kepentingan peribadi, sebaliknya mereka yang digelar ‘Geng 52’ ini sedang berusaha keras untuk menyelamatkan Tengku Amir.
“Kalau anda semua tak tahu, kami yang digelar sebagai menimbulkan kekacauan, menjejaskan keharmonian inilah yang membawa masuk RMS ke dalam FAS. Sebabnya kami tahu RMS sangat minat pada bola dan percaya beliau orang yang tepat untuk menjadi presiden.
“Apabila RMS kemudiannya bawa masuk orang-orang dia, kami tiada masalah. Tetapi selepas masuk mereka sudah jadi macam sekumpulan jerung, jerung yang cuba mengambil kesempatan dan tidak sepatutnya ada dalam FAS.
““Jerung-jerung inilah yang telah memberi nasihat yang tidak betul kepada tuanku. Jadi kami bukan penderhaka atau pengkhianat, bukan mahu rampas kuasa tetapi mahu menyelamatkan RMS dan FAS.
“Saya sudah lama berada di dalam persatuan, jadi saya tahu apa berlaku. Situasi sekarang tidak ubah seperti FAS keluar dari mulut buaya, masuk ke dalam mulut naga, naga pula lidah macam biawak,” jelas Datuk Ariffin yang dilantik sebagai Naib Presiden ketika EGM tersebut.
Terdahulu pada Sabtu, Tengku Amir menyatakan rasa murka dan dukacita dengan tindakan ahli gabungan diketuai beberapa bekas exco yang mengingkari arahan supaya EGM itu tidak diadakan selain menegaskan bahawa segala lantikan Jawatankuasa Eksekutif baru pada perjumpaan tersebut hanyalah syok sendiri.
“Beta dari awal sudah menyatakan tidak mengiktiraf ‘perjumpaan’ ini dan pendirian beta tidak berubah. Sudah banyak dilakukan sejak empat bulan beta ambil alih kepimpinan, hutang dijelaskan, proses diperbetulkan, tetapi ada pula yang nak buat kacau, main politik, dan semua ini hanya membuang masa,” kata Tengku Amir.
Manakala Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon pula berkata jumlah 52 ahli gabungan yang hadir memberi sokongan pada ‘perjumpaan’ tersebut tidak mencapai separuh daripada jumlah 121 ahli gabungan berdaftar dengan persatuan itu untuk membolehkan ianya diiktiraf sebagai EGM.
Mengenai kenyataan Johan itu, Datuk Ariffin menyatakan rasa hairan bagaimana jumlah ahli gabungan tiba-tiba boleh bertambah sedangkan jumlah sebenar adalah 96.
“Saya mewakili Persatuan Bolasepak Klang dan sudah berada di bawah FAS selama 20 tahun, sebelum ini jumlah ahli gabungan hanyalah 96, kalau awak semak semula laporan akhbar sebelum ini pun semua tulis jumlah ahli gabungan FAS adalah 96.
“Tetapi bila kita minta EGM diadakan, 96 sudah jadi 121. Macam mana ia boleh bertambah, saya tidak faham dan orang ramai boleh menilai sendiri,” katanya.
Tambahnya, “Saya diberitahu jumlah ini bertambah pada Mesyuarat Eksekutif FAS hanya pada 25 Oktober lalu sedangkan kita kemukakan memorandum pada 1 Oktober lagi. Jadi mengikut tarikh yang kita hantar memorandum, ahli gabungan masih 96 dan sebab itu EGM ini adalah sah dan mengikut perlembagaan.”
Sementara itu, mengenai keengganan beliau dan Omar Ali – bekas ketua jurulatih Piala Presiden Selangor yang turut merupakan orang kuat ‘Geng 52’ yang dikatakan enggan bersemuka dengan Tengku Amir Shah apabila dipanggil menghadap, Datuk Ariffin berkata sudah tiga kali pertemuan diadakan dan banyak nasihat sudah diberi namun semuanya tidak diendahkan oleh RMS. – OLEH MUHAMMAD AIMAN