Pesuruhjaya Sukan Dato’ Zaiton Othman nampaknya terus menjadi sasaran kecaman ekoran kegagalannya menyelesaikan masalah ataupun kemelut didepani beberapa persatuan sukan tanah air.
Bukan hanya tidak membantu, tetapi isu lebih besar adalah mengambil sikap membisu, berdiam diri.
Jika sebelum ini Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) membidas sikap berdiam diri Dato’ Zaiton yang didakwa tidak membantu menyelesaikan kemelut dalaman dihadapi mereka, kini giliran 52 ahli gabungan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pula tampil berbuat demikian.
Semuanya gara-gara sikap sambil lewa Zaiton yang sehingga kini masih belum membuat keputusan mahupun memaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenai kesahihan Kongres Luar Biasa (EGM) yang diadakan mereka lebih sebulan yang lalu.
Seperti diketahui, 52 ahli gabungan FAS itu atau digelar ‘Geng 52’ telah mengadakan EGM pada 8 Noveber dan melalui EGM tersebut yang mana dilaporkan sah mengikut Artikel 30 Perlembagaan FAS, pelantikan Jawatankuasa Eksekutif baru telah dibuat bagi penggal 2018-2022.
Ia bagaimanapun tidak diiktiraf oleh FAS malah Presiden FAS sendiri iaitu Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah melabel ianya tidak sah dan sekadar satu perjumpaan biasa.
Jawatankuasa Penyelaras EGM tersebut bagaimanapun tidak terkesan dengan persepsi Tengku Amir sebaliknya tidak berganjak dengan pendirian dan telah menyerahkan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan segala dokumentasi dan bukti yang diperlukan untuk mereka membuat keputusan mengenai kesahihan EGM tersebut.
“Bagaimanapun, sehingga ke tarikh hari ini, setelah lebih sebulan berlalu, PPS masih berdiam diri dan tidak ada sebarang perkembangan atau kemaskini mengenai EGM tersebut.
“Masa yang terlalu lama diambil oleh PPS ini menyebabkan tujuan/niat sebenar ahli gabungan mengadakan EGM tersebut iaitu untuk merombak dan kemudiannya menambahbaik serta memperkasa pentadbiran dan pengurusan FAS masih tidak dapat dilaksanakan malah menjejaskan pelbagai perancangan yang telah diatur.
“Malah, kelewatan ini juga menyebabkan FAS menerusi surat bertarikh 29 November 2018 telah menghantar Usul Pemecatan kepada kesemua 52 ahli gabungan yang menyokong EGM tersebut.
“FAS juga akan mengadakan Kongres Agung Tahunan pada 15 Disember ini di Hotel Sunway Putra sedangkan status EGM itu sendiri masih lagi tergantung,” kata Roslin Shariff, Presiden Kelab Bolasepak Frenz United selaku jurucakap ‘Geng 52’.
Justeru itu, Zaiton diminta supaya memberi perhatian serius dan segera membuat keputusan mengenai kesahihan EGM itu dengan bersandarkan kepada semua dokumen dan bukti yang telah dilampirkan.
“Selagi belum ada kata putus mengenai EGM tersebut, ahli gabungan turut berharap dan memohon bantuan agar Dato’ Zaiton menggunakan budi bicara beliau untuk menangguhkan terlebih dahulu Usul Pemecatan dan juga AGM tersebut,” tambah Roslin.
Sebagai rekod, Zaiton pada 12 November lalu mengesahkan telah menerima semua dokumen berkaitan EGM tersebut dan meminta tempoh dua minggu untuk menyelesaikan kemelut tersebut. MUHD AIMAN