Kepimpinan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sudah boleh menarik nafas lega dan memberi tumpuan terhadap misi membangunkan pasukan dan pengurusan sepenuhnya selepas ‘pasukan’ haluan kiri tumpas hari ini.
Menerusi kenyataan media oleh Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon, Pejabat Pesuruhjaya Sukan telah memberi maklum balas menerusi surat yang bertarikh 17 Disember lalu.
Kandungan surat tersebut mengesahkan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dilaksanakan oleh sekumpulan individu yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran baru FAS dibawah teraju Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah adalah tidak sah.
“Surat tersebut menyatakan bahawa mesyuarat yang kononnya Kongres Luar Biasa (EGM) pada 8 November lepas telah melanggar statut dan terdapat beberapa keraguan maka ianya adalah tidak teratur dan tidak mengikut proses.
“Tuanku Presiden, barisan Exco dan Sekreteriat Agung FAS berasa amat bersyukur atas perkembangan ini dan fokus kami untuk memantapkan persiapan untuk bersaing pada musim 2019 dapat dipertingkatkan,”kata Johan
Malah, Johan turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong dan Pesuruhjaya Sukan serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang terus bersabar menanti serta menjalankan tugas secara profesional.
Kumpulan yang dikenali dengan ‘geng 52’ mengadakan EGM awal November lalu, namun dipecat FAS pada Sabtu lalu.