Laluan perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 diumumkan hari ini dengan menampilkan beberapa kelainan, menjadikannya sebuah acara yang dijangka bakal menarik perhatian orang ramai termasuk peminat lumba basikal tanah air dan luar negara.
Biarpun berdepan kekangan dari segi persiapan, segala penantian tampak berbaloi apabila penganjur bagi jelajah berbasikal terbesar di Asia Tenggara, Human Voyage Sdn Bhd berjaya mengembalikan laluan mendaki berstatus Hors, Genting Highlands, Pahang bagi edisi ke-24 yang akan membuka tirai bermula dari 6 hingga 13 April depan.
Pada Majlis Prapelancaran LTdL yang dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman pagi tadi, Human Voyage Sdn Bhd memaklumkan bahawa beberapa faktor telah diambil kira dalam memilih laluan edisi LTdL kali ini. Antaranya laluan ini dipilih bertujuan untuk mengembalikan kegemilangan LTdL bukan sahaja dari sudut persaingan perlumbaan, tetapi juga sebagai satu acara pelancongan sukan yang selanjutnya dapat menyumbang kepada perpaduan rakyat di negara ini.
Pendakian ke Genting Highlands yang disifatkan sebagai ‘queen stage’ dengan tawaran mata tertinggi dalam pelumbaan ini bakal menyediakan cabaran sengit kepada para pelumba yang akan mula berkayuh daripada Shah Alam. Peringkat ini akan menjadi tumpuan pasukan yang bertanding khususnya dalam perebutan dua jersi utama iaitu Kuning; Kedudukan Keseluruhan Individu dan Merah; Raja Bukit.
Samad Pourseyedi (Tabriz-Petrochemical Iran) adalah pemenang kali terakhir di puncak Genting Highlands pada LTdL 2014 – kemenangan yang turut memberikannya jersi kuning berprestij dan gelaran Pelumba Terbaik Asia di akhir jelajah pada edisi ke-19 ketika itu.
Kehadiran semula Genting Highlands juga dilihat dapat melonjakkan lagi profil LTdL dan meningkatkan kemeriahan kejohanan. Lokasi tersebut sebelum ini digugurkan daripada senarai laluan sejak empat edisi lalu atas faktor keselamatan susulan kerja-kerja pembinaan taman tema di puncak pusat peranginan itu.
Selain jersi Kuning dan Merah, para pelumba LTdL turut bersaing bagi merebut jersi Biru untuk Raja Pecut dan jersi Putih bagi merangkul gelaran Pelumba Terbaik Asia.
Saingan LTdL 2019 bakal bermula dari Kuala Lumpur dan tamat menerusi perlumbaan Kriterium di Pulau Langkawi, dengan lapan peringkat perlumbaan melibatkan jarak keseluruhan 1,239.6km.
Menerusi laluan yang telah dipilih, para pelumba akan berpeluang berkayuh melewati bangunan ikonik seperti Istana Kehakiman, Putrajaya dan Masjid Zahir di Kedah. Mereka juga bakal merentasi panorama indah dengan tarikan tersendiri seperti Batu Caves, dataran sawah padi dan rimba hijau Malaysia yang bakal mempamerkan khazanah dan identiti menarik negara.
Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, Datuk Ahmad Mustafa berkata, LTdL 2019 bukan tertumpu kepada peringkat pendakian ke Genting Highlands semata-mata kerana bermula dari Peringkat 1 Kuala Lumpur ke Tampin lagi, pelumba terpaksa bergelut untuk menghadapi empat zon pendakian, selain jarak yang agak panjang sejauh 213.8km.
“Pelumba kali ini berdepan cabaran sebaik bermula Peringkat 1 kerana ada empat zon pendakian, termasuk pendakian berstatus 3 di Genting Peras, yang pastinya akan membuatkan perlumbaan menjadi sengit kerana pasti ramai pelumba yang mahu mengumpul mata bagi gelaran Raja Bukit.
“Malah, Peringkat 2 dari Senawang ke Melaka sejauh 190km dan Peringkat 3 dari Muar ke Putrajaya selepas itu juga dijangka berlangsung dalam tempo kayuhan yang laju kerana ada empat zon pendakian dan enam zon pecutan menanti para pelumba dalam misi mengumpul seberapa banyak mata yang mungkin sebelum mengerahkan sepenuh tenaga dan keringat bagi mengharungi cabaran getir Peringkat keempat dari Shah Alam, Selangor menuju ke Genting Highlands, Pahang.
“Peringkat kelima dari Tanjung Malim ke Taiping terus menambahkan lagi kesukaran kepada pelumba kerana selain jarak laluan yang agak panjang (206km), pelumba perlu mengharungi laluan mendaki di Bukit Berapit sebelum tiba ke penamat di Taiping.
“Situasi ini pastinya memerlukan perancangan dan taktikal yang betul agar pelumba pelumba tidak terlalu kehilangan banyak tenaga khususnya selepas pendakian getir di Genting Highlands,”kata Datuk Ahmad Mustafa.
Dalam pada itu, penganjur LTdL turut mengumumkan siaran langsung perlumbaan selama 90 minit yang bakal ditayangkan di Malaysia dan Eropah serta sedutan harian selama 30 minit sepanjang tempoh lapan hari acara LTdL. Secara keseluruhannya, LTdL melihat kepada rangkaian liputan ke 100 buah negara dengan 310 juta penonton melalui televisyen dan 70 juta penonton melalui Cycling.TV dari seluruh dunia.
Bagi menambah kemeriahan dan menggalakkan semua lapisan masyarakat keluar memberi sokongan kepada acara ini, beberapa aktiviti sampingan akan turut dilaksanakan di lokasi akhir pada setiap peringkat perlumbaan nanti.