Oleh Ku Mohd Lufti
Impian untuk membalas dendam selepas tewas kepada bergu China, Chai Biao-Hong Wei di Kejohanan Badminton Dunia Superseries menjadi kenyataan buat bergu Korea Selatan, Kim Gi jung-Kim Sa rang.
Pentas akhir Kejohanan Badminton Superseries Premium Terbuka Malaysia 2016 menghadirkan kemenangan keempat dalam 9 pertemuan mereka setakat ini.
Gi jung-Sa rang melakar kemenangan straight set 21-19, 21-15 dalam masa 36 minit untuk merangkul trofi Superseries Premium pertama bagi tahun ini.
“Set pertama adalah penting untuk kami bagi menentukan kemenangan. Kami diberi tentangan sengit di set pertama selain perlu mencari rentak kerana bermain dalam keadaan angin yang kuat. Semangat kami semakin tinggi di set kedua dan pastinya ini adalah kejayaan yang manis dapat merangkul trofi Superseries Premium yang pertama tahun ini,” kata Gi jung.
Malah, kemenangan ini sekaligus mengembalikan keyakinan Gi jung dan Sa rang untuk membentuk keserasian yang lebih baik kerana misi utama bergu lelaki ketiga Korea Selatan ini adalah mencari mata untuk menempatkan diri ke sukan Olimpik Rio 2016.