Oleh Ku Mohd Lufti
Penguasaan pasukan tunggal Pro Tour dalam saingan jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi 2017 semakin sukar untuk digugat 8 pasukan lain apabila meraih dua daripada empat jersi.
Pelumba kelahiran Afrika Selatan, Ryan Gibbons terus membuktikan kemampuannya untuk menempa nama dalam senarai antara pemenang pemenang jersi LTdL.
Kejayaan mempertahankan jersi kuning selaku pendahulu dalam kedudukan pelumba keseluruhan selepas tamat empat peringkat perlumbaan seakan akan memberi semangat buat Gibbons.
Dengan baki tiga peringkat, Ryan Gibbons semakin yakin untuk mempertahankan jersi kuning apabila muncul pemenang peringkat kelima yang bermula dari Meru Raya, Ipoh ke Kuala Kubu Bharu dengan jarak 151.5 kilometer.
Gibbons hanya bergerak dalam peloton sebelum memulakan henjutan bersama sama rakan sepasukan Mekseb Debesay ketika perlumbaan berbaki dua kilometer.
Meskipun diberi tentangan sengit, henjutan Gibbons sukar untuk ditandingi apabila berseorangan melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam, 27 minit 20 saat.
Tempat kedua milik Jakub Mareczko (Wilier Triestina) manakala Travis McCabe (United Healthcare Procycling) melengkapkan podium bagi peringkat kelima.
Kemenangan pelumba berusia 22 tahun ini memberikannya podium bagi kemenangan peringkat kali keempat selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua pada peringkat pertama, Rabu lepas, dan juga tempat ketiga masing-masing di peringkat kedua dan keempat pada Khamis lepas dan Jumaat.
Bukan sahaja mengekalkan jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan, Gibbons turut merampas jersi teale selaku raja pecut baru dengan catatan 45 mata berbanding Travis McCabe yang hanya mengumpul 35 mata..
“Kejayaan ini sudah tentu melegakan saya selepas gagal berbuat demikian pada dua peringkat perlumbaan sebelum ini. Saya gembira dapat memberikan kemenangan ini kepada pasukan.
“Memenangi jersi Teal adalah bonus kepada saya, namun fokus utama saya pada masa ini adalah untuk mengekalkan jersi Kuning,” kata Gibbons.
Raja Bukit terus dipegang John Kronborg Ebsen daripada pasukan Infinite AIS Cycling manakala jersi putih atau pelumba Terbaik Asia turut kekal menjadi milik Yevgeny Gidich daripada pasukan Vino Astana Motors.
Peringkat keenam akan melibatkan jarak perlumbaan sejauh 176.3km dari Senawang ke Muar, menampilkan tiga zon pecutan â di Johol, Bemban dan Ayer Molek, serta tiga zon pendakian di Bukit Putus, Seri Menanti dan Inas.