Beberapa hari lalu, pemilik Johor Darul Takzim Tunku Ismail Sultan Ibrahim melabel Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebagai tidak faham peraturan dan undang-undang, malah menegaskan KFA seharusnya menyalahkan diri sendiri dalam isu perpindahan pemain muda Akhyar Rashid.
Sebagai reaksi balas, Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir melontarkan pula melontarkan sindiran pedas kepada JDT apabila meminta pasukan juara liga Super itu tidak terlalu ‘sibuk’ mengajar KFA tentang peraturan jika mereka sendiri tidak pandai berurusan mengikut peraturan.
“Bila satu pasukan langgar peraturan dengan tawar imbuhan kepada pemain ikut pintu belakang, itu boleh menyebabkan pihak lain mengalami kerugian. Cara itu tidak betul dan sebab itu kita bantah dan mahu Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) yang teliti dan buat keputusan berhubung isu ini.
“Saya tegaskan, tindakan awal mereka menawarkan pemain mengikut kaedah rundingan pintu belakang itu dah salah awal-awal lagi jadi tak perlu mengajar kita tentang peraturan,” ujar Mukhriz.
Malah Mukhriz menjelaskan KFA cukup terkilan dengan tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini yang hanya berbincang dengan Akhyar dan membuat keputusan tanpa melibatkan KFA.
“Keputusan sebelum ini dibuat hanya di antara FAM dan Akhyar, KFA sendiri tidak dijemput. Apabila kita cakap mahu bawa perkara ini ke CAS, dia cakap boleh pula berbincang. Jadi jalan terbaik adalah dengan membiarkan CAS buat keputusan dan apa juga keputusan kita terima kerana itulah tujuan utama libatkan CAS.
“CAS merupakan pihak ketiga tidak berkepentingan. Badan itu boleh pertimbangkan hujah kesemua pihak, baik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), KFA, JDT, malah Akhyar sendiri.
“Biar CAS buat keputusan dan kita akan terima kerana itu sahaja tujuan KFA mahu gunakan saluran itu yang memang merupakan salah satu kaedah yang termaktub dalam peraturan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, tegas Mukhriz, tujuan membawa isu berkenaan ke CAS adalah untuk memastikan tiada pasukan lain yang menghadapi nasib sama seperti KFA.
“Kita tiada masalah Akhyar nak ke pasukan lain, tapi cuba bayangkan kalau perkara ini terlepas begitu sahaja, macam-macam lagi akan berlaku bukan hanya kepada KFA tapi pasukan lain,” ujarnya.
Mukhriz turut menyangkal dakwaan kononnya mereka tidak pandai menjaga kebajikan pemain, sedangkan Lang Merah sentiasa prihatin terhadap isu berkenaan termasuklah soal kebajikan Akhyar.
“Kami pasukan kecil, miskin, jadi seolah-olah tak pandai jaga pemain. Di pihak sana pun banyak juga pemainnya yang hilang. Dengan Akhyar sendiri, kita pernah bertanya apa yang dia harapkan untuk masa hadapan dan kita turut cadangkan supaya dia mengembangkan bakatnya dengan bermain di luar negara, jadi tidak timbul isu tidak prihatin dengan pemain,” ujarnya.
Kontroversi perpindahan Akhyar timbul setelah permohonan perpindahan pemain itu ke JDT tidak dilayan KFA menyebabkan pemain itu membawa kes itu ke FAM dan tuntutan penamatan kontrak secara sebelah pihak yang dikemukakannya diterima oleh FAM.
Dia dibenarkan menebus kontraknya bersama KFA dengan bayaran sebanyak RM210,000 untuk bergelar ejen bebas. Mana-mana pasukan yang menandatanganinya selepas itu perlu membayar jumlah pampasan latihan sebanyak RM75,000 kepada Kedah – jumlah yang dianggap sangatlah tidak berbaloi oleh KFA.
Sebaik sahaja dia bergelar ejen bebas, JDT memulakan rundingan dengannya dan pada minggu lalu telah sah menandatangani khidmatnya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN