Serdang BC terus tampil dengan aksi dan pendekatan berbeza untuk mencatat kemenangan kelima mereka di Resorts World Genting Purple League 2015 dengan menewaskan Bangsar Hawks 15-6.
Pada perlawanan yang berlangsung di Sports Arena@Sentosa, Serdang yang mengejutkan satu daripada pasukan pilihan, Puchong United minggu lalu sekali lagi turun dengan menyenaraikan pemain yang berbeza dan tindakan itu jelas membuahkan hasil buat pasukan bimbingan Ong Ewe Hock itu.
“Setiap perlawanan kita cuba tampil dengan pelan dan strategi baru. Saya fikir kita perlu sentiasa ada pembaharuan dalam permainan, jika tidak kita tidak akan meningkat dan kekal di kedudukan sama. Dan memang, kita sentiasa buat penggiliran pemain, saya mahu setiap pemain merasai suasana beraksi dua atau tiga kali.
“Seorang pemain tidak akan bertambah bagus sekiranya dibiarkan menjadi penonton dan bukan cara Serdang BC untuk kekal dengan pemain yang sama setiap minggu. Kalau pemain itu ada potensi bagus, kita akan bagi dia main dan buktikan sesuatu. Menang atau kalah, yang penting mereka dapat rasai suasana itu dan saya gembira dengan semua pemain saya hari ini,” ujar Ewe Hock, pemenang pingat emas berpasukan Sukan Komanwel 1998.
Ewe Hock hanya mengekalkan gandingan beregu lelaki, Huang Po Jui/Tien Tzu Chieh dan perseorangan lelaki Wang Tzu Wei dari senarai pemain yang menewaskan Puchong United – Tzu Wei membuat penampilan sulungnya minggu lalu dan cemerlang menewaskan Andre Kurniawan Tedjono.
Bagi Bangsar Hawks bimbingan Razif Sidek pula, ini adalah kekalahan ketujuh berturut-turut buat mereka setelah hanya menang sekali pada perlawanan pembukaan musim sekaligus menyaksikan mereka terperosok di kedudukan kedua tercorot liga.
Razif bagaimanapun berpendapat meskipun Bangsar Hawks gagal untuk meraih kemenangan, semangat dan kerja keras ditunjukkan pemainnya tetap perlu diberikan kredit.
“Saya pesan kepada pemain, turun gelanggang dan cuba buat yang terbaik. Jika terlalu fikirkan keputusan perlawanan, mereka akan tertekan dan tidak rasai keseronokan bermain. Kita dapat enam mata di sebalik kekalahan ini jadi keseluruhannya ia usaha yang bagus walaupun saya akui banyak yang perlu kita tambah baik selepas ini,” jelas Razif.
Serdang memenangi kesemua lima perlawanan mereka, namun hanya dua pemain perseorangan lelaki – Lee Zii Jia dan Wang Tzu Wei yang mencatat kemenangan bersih 3-0 tatkala tiga aksi lain menyaksikan Bangsar Hawks cuba memberikan tentangan sengit.
Perseorangan wanita, Xu Wei mengambil masa hampir satu jam sebelum mengesahkan kemenangan 3-2 (10-11, 11-9, 11-6, 10-11, 11-8) ke atas Maria Febe Kusumawati manakala pasangan beregu campuran, Tseng Min Hao/Yap Cheng Wen turut bergelut sebelum menang 3-2 ke atas Irfan Fadhilah/Weni Angrainni.
Bangsar Hawks hampir sahaja mengutip kemenangan dalam acara beregu lelaki namun gandingan Agripinna Primarahmanto/Amzzar Zainudin yang beraksi dengan baik untuk mendahului 2-0 gagal mempertahankan kelebihan dan berkesudahan dengan tewas 2-3 di tangan Huang Po Jui/Tien Tzu Chieh.
Kemenangan membolehkan Serdang kekal di tangga keenam dan mereka akan menentang pencabar terdekat Kepong BC pada Ahad ini, manakala Bangsar Hawks akan menentang Puchong United pada Sabtu.